Permintaan pengangkutan udara dijangka meningkat 4.3 peratus
KUALA LUMPUR - Permintaan untuk pengangkutan udara dijangka secara puratanya meningkat 4.3 peratus setiap tahun untuk tempoh 20 tahun akan datang, berikutan pemulihan dalam industri penerbangan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata, situasi ini akan mewujudkan 15.5 juta peluang pekerjaan secara langsung dan menyumbang AS$1.5 trilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global menjelang 2036.
"Kita jangka untuk melihat peningkatan tahunan sebanyak 10.4 peratus dalam jumlah penumpang global bagi tahun 2024, kerana industri penerbangan mengalami pemulihan yang luar biasa melebihi tahap trafik udara prapandemik.
"Di Malaysia, sektor penerbangan kita dijangka berkembang sebanyak empat peratus dalam pergerakan penumpang, didorong oleh penambahan kumpulan pesawat dan kembalinya syarikat penerbangan asing,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Rundingan Perkhidmatan Udara (ICAN) 2024 anjuran Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), di sini hari ini.
Turut hadir Presiden ICAO Salvatore Sciacchitano dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan.
Anthony Loke berkata, 8.7 juta penumpang direkodkan pada Ogos 2024, menunjukkan peningkatan 12.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau menjangkakan kargo udara berkembang enam hingga 6.6 peratus tahun ke tahun bagi 2024, yang berjumlah kira-kira 20 bilion tan kargo setiap kilometer.
"Pertumbuhan ini didorong oleh beberapa faktor seperti pemulihan di China, peningkatan dalam kitaran teknologi global dan penstabilan ekonomi,” katanya.
Mengulas mengenai penetapan gaji minimum baharu menerusi Belanjawan 2025 pada sidang media selepas itu, Loke berkata ia tidak memberi apa-apa kesan terhadap sektor penerbangan memandangkan gaji minimum sektor berkenaan rata-ratanya telah melebihi angka berkenaan.
"Dalam penerbangan sebenarnya gaji sudah lebih RM1,700, kerana sektor ini banyak kerja teknikal yang memerlukan tenaga kerja mahir serta terlatih dalam semua aspek berkaitan.
"Malah sekarang rata-ratanya (gaji minimum) pun lebih RM2,000 untuk pekerja sektor penerbangan,” katanya.
Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat berkata kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa 1 Februari 2025. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!