Gegaran di Ipoh mungkin ada kaitan ledakan sonik - Penganalisis

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Azizi
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Azizi
A
A
A

IPOH - Isu gegaran dan dentuman kuat yang dirasai di beberapa kawasan sekitar Ipoh pada Isnin mencetuskan persoalan baharu apabila timbul dakwaan berpunca daripada fenomena dentuman sonik yang dihasilkan jet pejuang.

Dakwaan itu susulan kes sama pernah dilaporkan berlaku di Perth, Australia Ogos lalu melibatkan empat pesawat F-15 Angkatan Udara Republik Singapura RSAF yang menjalankan latihan di luar sebuah pangkalan tentera udara di Australia Barat.

Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, perkara itu tidak mustahil kerana dentuman sonik boleh menghasilkan tenaga bunyi yang tinggi berikutan pesawat terbang pada kelajuan lebih cepat daripada kelajuan bunyi.

"Dentuman sonik ini tidak menyebabkan apa-apa kepada pesawat, malah tiada berlaku letupan pun di udara.

"Bagaimanapun dalam kes ini, hanya pengesahan daripada pihak berkuasa termasuk pihak berkuasa penerbangan atau tentera boleh mengesahkan punca sebenar bunyi berkenaan.

"Protokol ketenteraan biasanya mengehadkan penerbangan sebegitu kepada operasi di atas air untuk meminimumkan kesan ke atas kawasan berpenduduk," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, dalam kebanyakan kes, dentuman sonik memang boleh menimbulkan kebimbangan dan rasa cemas orang awam, namun tidak kerosakan bangunan.

"Kalau gelombang bunyi itu terlalu kuat, berkemungkinan boleh menyebabkan kaca tingkap retak atau pecah.

Artikel Berkaitan:

"Tidaklah kerosakan kepada keseluruhan bangunan kerana struktur bangunan mesti dibina dengan ketahanan gegaran," katanya.

Sinar Harian melaporkan satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar Ipoh antaranya di Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim dan Manjoi serta pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora sekitar jam 11 pagi pada Isnin.

Gegaran yang berlaku dalam tempoh beberapa saat itu turut disusuli dengan bunyi dentuman yang kuat hingga mengakibatkan orang ramai terkejut dan cemas.

Polis Perak telah mengesahkan gegaran dan bunyi dentuman kuat itu bukan berpunca daripada latihan letupan pasukan keselamatan atau aktiviti kuari.

Pada Oktober 2018, insiden sama pernah berlaku di bandar raya ini dan daerah berdekatan termasuk Taiping, namun punca kejadian itu masih kekal misteri sehingga kini.

Ini berikutan pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak menafikan berlakunya sebarang aktiviti kuari dijalankan ketika dentuman kedengaran.

Jabatan Meteorologi Malaysia ketika itu turut menafikan gegaran dan dentuman kuat yang berlaku berpunca daripada gempa bumi selain Akademi Tentera Udara (ATU) memaklumkan kejadian tersebut bukan berpunca daripada aktiviti latihan pasukan berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!