Tiada layanan dua darjat penjawat awam tidak pilih SSPA

Wan Ahmad Dahlan (kanan) bersama sebahagian daripada 75 orang penjawat awam selepas mengetuai Majlis Menandatangani Opsyen Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bersama Warga Kerja Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya pada Isnin.
Wan Ahmad Dahlan (kanan) bersama sebahagian daripada 75 orang penjawat awam selepas mengetuai Majlis Menandatangani Opsyen Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bersama Warga Kerja Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memberi jaminan tidak akan berlaku layanan dua darjat bagi penjawat awam yang tidak memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Bagaimanapun kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, gaji dan elaun mereka yang tidak memilih SSPA tidak akan berubah berdasarkan Skim Saraan Malaysia (SSM).

"SSPA ini adalah pilihan, cuma mereka yang tidak berpindah daripada SSM ke SSPA, maka tidak akan ada pelarasan gaji.

"Apabila tidak ada pelarasan gaji, sekiranya mereka pencen kelak, maknanya pencen tersebut akan mengikut gaji semasa SSM," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas menandatangani opsyen SSPA bersama 75 warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini pada Isnin.

Ujar beliau, SSPA memberi pulangan yang lebih baik dari segi pelarasan gaji baharu, pemantapan saraan dan penambahbaikan laluan kerjaya.

"Begitu juga dengan pembangunan kerjaya pegawai juga dititik beratkan untuk memastikan penjawat awam berada dalam tahap kompetensi yang baik serta dapat melaksanakan tugas dengan lebih berjaya lagi di masa hadapan," jelasnya.

Menurutnya, dengan penambahbaikan sistem saraan itu, penjawat awam diingatkan untuk mempertingkatkan lagi tahap sistem penyampaian kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Dengan kenaikan gaji dan juga penambahbaikan sistem saraan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan ini, maka tanggungjawab penjawat awam juga telah bertambah di mana kita perlu mempertingkatkan lagi tahap sistem penyampaian dengan lebih baik serta memberikan semua yang terbaik di dalam perkhidmatan.

"Sama ada perkhidmatan itu di Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen atau pun di hospital, klinik dan sebagainya.

"Kerana rakyat ingin melihat apabila ada perubahan kepada pelarasan gaji, rakyat ingin melihat sejauh mana peningkatan sistem penyampaian dapat dilaksanakan oleh penjawat awam," katanya.

Mengulas mengenai kedudukan pelarasan gaji penjawat awam yang bersara selepas menandatangani opsyen SSPA itu, beliau berkata, pesara berkenaan tetap menikmati kenaikan itu namun ia dimasukkan dalam manfaat pencen masing-masing.

"Fasa pertama pelarasan gaji bermula Disember 2024 dan jika mereka memilih opsyen SSPA mereka akan dapat kenaikan lapan peratus.

"Katakanlah bulan Februari mereka pencen, mereka akan dapat kenaikan dua bulan sahaja iaitu bulan Disember 2024 dan Januari 2025.

"Bagi kenaikan fasa kedua (Januari 2026), kita akan bawa perkara (pelarasan dan kenaikan) tersebut dalam pencen mereka nanti," jelasnya.

Ditanya mengenai sasaran penjawat awam yang akan memilih SSPA, Wan Ahmad Dahlan optimis 1.4 juta akan memilih sistem saraan berkenaan.

"Kita menjangkakan ramai penjawat awam akan menandatangani option ini kerana semasa sesi libat urus diadakan, kebanyakannya teruja untuk memilih option baru ini," katanya.

Opsyen SSPA telah dibuka selama 40 hari bermula 21 Oktober sehingga 30 November depan.

Pelarasan gaji baharu bakal diterima pegawai awam bertaraf tetap dan lantikan kontrak (COS) seawal bulan Disember ini dengan gaji permulaan terendah ditingkatkan kepada RM1,500 sebulan.

Sementara itu, pada perkembangan berkaitan Wan Ahmad Dahlan menyifatkan kerajaan tidak pernah mengenepikan penjawat awam dalam Belanjawan 2025.

"Walaupun telah diberi pelarasan gaji, tetapi kerajaan masih lagi memberikan bantuan khas untuk persekolahan dan juga persiapan pada Hari Raya.

"Jadi, di sini dapat kita lihat bahawa keprihatinan kerajaan kepada penjawat awam sangat tinggi.

"Inilah saya minta supaya penjawat awam membalas dengan sesuatu yang lebih baik dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!