Ular sawa kekenyangan telan itik ditangkap
KUALA PILAH - Seekor ular sawa batik yang kekenyangan dalam sebuah reban selepas menelan seekor itik berjaya ditangkap di Tanjong Ipoh di sini pada Isnin.
Kehadiran ular seberat lapan kilogram itu disedari seorang wanita berusia 30-an sebelum menghubungi pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Pilah pada jam 6.46 pagi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Pilah, Leftenan Mohamad Ghazali Abd Rahim berkata, tiga anggota APM diketuai Sarjan (PA) Zulfakhri Zulkarnain telah ke lokasi sebaik menerima aduan berkenaan.
"Sebaik tiba, pengadu memaklumkan ular berkenaan telah menyerang dan menelan haiwan ternakannya serta masih berada dalam reban.
"Anggota mengambil masa tiga minit untuk menangkap dan menenangkan ular berkenaan seterusnya dibawa ke pusat kawalan operasi daerah Kuala Pilah sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan ancaman bahaya atau bencana dan diminta untuk segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!