Penggunaan jentera pertanian elektrik masih dalam kajian

Mahfuz (tengah) bersama wakil penerima daripada PPN bahagian jentera selepas menerima replika kunci jentera pertanian masing-masing pada Isnin.
Mahfuz (tengah) bersama wakil penerima daripada PPN bahagian jentera selepas menerima replika kunci jentera pertanian masing-masing pada Isnin.
A
A
A

KUBANG PASU - Kerajaan sedang mengkaji penggunaan jentera elektrik dalam sektor pertanian dalam usaha meningkatkan hasil padi.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, ia masih di peringkat kajian dan ujian penggunaan dan dijangka mengambil masa sehingga dua tahun sebelum dapat dilaksanakan.

Menurutnya, penggunaan jentera pertanian yang tidak menggunakan bahan bakar diesel seperti elektrik tidak dapat dielakkan kerana dunia kini sedang menuju ke arah teknologi tersebut.

“Pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 baru-baru ini dilancarkan traktor elektrik. Ia dilakukan dengan kerjasama sebuah syarikat bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan sebuah syarikat dari Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar di majlis penyerahan jentera pertanian LPP Kedah bagi Pertubuhan Peladang Negeri Kedah (PPNK) di PPN Jentera Asun pada Isnin.

Mahfuz berkata, kajian mendalam sedang dilakukan bagi memastikan harga jentera berkenaan tidak membebankan pesawah selain melihat keupayaan jentera berkenaan dalam pengendalian ladang.

“Kita akan menggalakkan penggunaan jentera pertanian elektrik pada masa hadapan. Sudah tentu akan mengambil masa dalam proses pertukaran dari diesel kepada elektrik kelak,” ujarnya.

Menurutnya, penggunaan teknologi tersebut penting khususnya apabila negara mula memperluaskan penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun.

Artikel Berkaitan:

“Pada ketika itu, sudah tentu kita akan lihat penggunaan jentera teknologi baharu dari masa ke semasa.

"Apabila sampai kepada tempoh pelaksanaan, kita akan lihat kesesuaian jentera yang diperlukan.

“Selain menggunakan jentera sedia ada, sekiranya ada penemuan baharu yang membolehkan kita mendapatkan bekalan jentera lebih moden, kita akan pertimbangkan,” jelasnya.

Mahfiz jelaskan, pada masa sama, LPP turut menaik taraf dan menambah hayat jentera-jentera lama bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan untuk membeli jentera baharu.

Pada majlis berkenaan, PPNK menerima lima buah jentera pertanian bawah peruntukan Rolling Plan ke- 4 sebanyak RM 801,549 daripada LPP bagi aktiviti kejenteraan ladang PPN, antaranya ‘Traktor Semi Crawler’ serta sebuah jentera mini traktor.

Terbaharu sebanyak tujuh unit jentanam mula beroperasi di kawasan PPK Merbok dengan keluasan 100 hektar, sebagai perkhidmatan sokongan kepada projek ladang benih padi PPNK.

Peruntukan ini dijangkakan akan menjana pendapatan sebanyak RM887,000 bagi aktiviti traktor dan jentuai bagi musim 1/2024.

Keseluruhan kawasan kendalian PPN jentera adalah seluas 1,500 hektar merangkumi kawasan Mada dan luar Mada dengan bilangan ahli seramai 2,800 menerima perkhidmatan daripada peruntukan tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!