Subsidi petrol ditarik: Lindungi peniaga daripada kenaikan kos

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempertimbangkan mekanisme lebih menyeluruh dalam melindungi perniagaan daripada kesan kenaikan kos akibat penyasaran subsidi minyak petrol RON95 di bawah Belanjawan 2025.

Presiden Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia, Datuk Azman Yusof berkata, antara langkah boleh dilakukan termasuk menawarkan rebat tenaga, program insentif untuk kenderaan cekap tenaga, atau sokongan logistik bagi perniagaan yang terjejas.

“Langkah ini penting bagi memastikan kesan peningkatan kos tidak terlalu membebankan, terutamanya kepada usahawan kecil dan sederhana,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menerusi Belanjawan 2025 dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat merekod sejarah sebagai dokumen belanjawan tertinggi yang pernah dibentangkan kerajaan dengan nilai keseluruhan RM421 bilion.

Pengumuman terbesar yang menjadi tumpuan rakyat terarah kepada keputusan Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025, sesudah rasionalisasi subsidi diesel dikuatkuasakan pada tahun ini.

Ujar Azman, penyelarasan subsidi pada pertengahan tahun depan juga akan membawa kesan kepada kos operasi perniagaan terutama yang terlibat dalam sektor pengangkutan, logistik, dan penghantaran.

Menurut beliau, pihaknya memahami keperluan kerajaan untuk menstrukturkan semula subsidi bagi memastikan ia sampai kepada golongan yang memerlukan.

“Namun, penyasaran subsidi minyak itu juga akan meningkatkan kos bahan bakar, yang akhirnya mempengaruhi harga barangan dan perkhidmatan di pasaran,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ulas Azman, kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 dapat meningkatkan kesejahteraan pekerja sekali gus membantu meningkatkan kualiti hidup mereka.

“Walau bagaimanapun kenaikan gaji ini akan memberikan cabaran kepada usahawan, terutamanya PKS yang bergantung kepada tenaga kerja yang ramai.

“Kenaikan kos operasi akan menjadi beban kepada sesetengah perniagaan, namun, ia juga boleh merangsang produktiviti dan motivasi pekerja, yang seterusnya membantu memperbaiki kualiti perkhidmatan dan pengeluaran.

“Dengan sokongan berterusan daripada kerajaan melalui insentif dan bantuan pembiayaan, usahawan perlu menyesuaikan diri melalui peningkatan produktiviti dan automasi,” menurutnya.

Tambah beliau, inisiatif-inisiatif di bawah Belanjawan 2025 dapat memberikan manfaat besar yang kepada golongan usahawan tempatan.

“Dengan gabungan langkah-langkah seperti peningkatan gaji minimum dan penyelarasan subsidi yang dibuat secara seimbang, kami yakin sektor keusahawanan di Malaysia akan terus berkembang dengan mapan dan berdaya saing dalam ekonomi yang kian mencabar,”

________________________________________________________________________________

Belanjawan 2025 dengari rintihan pesawah

KUBANG PASU - Belanjawan 2025 disifatkan sebagai belanjawan yang mendengar rintihan pesawah yang sebelum ini dihimpit pelbagai masalah seperti harga belian padi rendah selain tanaman musnah akibat bencana.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, secara keseluruhannya Belanjawan 2025 merupakan belanjawan yang merakyatkan semua apabila pelbagai pihak beroleh manfaat.

Mahfuz (tengah) pada majlis penyerahan jentera pertanian kepada Pertubuhan Peladang Negeri Kedah (PPNK) di PPN Jentera Asun pada Isnin.
Mahfuz (tengah) pada majlis penyerahan jentera pertanian kepada Pertubuhan Peladang Negeri Kedah (PPNK) di PPN Jentera Asun pada Isnin.

Menurutnya, keputusan kerajaan memperuntukkan subsidi, bantuan dan insentif sebanyak RM2.78 bilion kepada petani dan nelayan dalam Belanjawan 2025, merupakan langkah terbaik bagi meringankan beban golongan tersebut apabila berlaku peningkatan berbanding RM2.6 bilion dalam Belanjawan 2024.

“Kita mengalu-alukan langkah tersebut dan beri jaminan dana berkenaan akan digunakan secara berkesan oleh agensi dan industri pertanian berkaitan, terutamanya petani yang turut menyambut baik pengumuman tersebut,” katanya pada sidang akhbar di majlis penyerahan jentera pertanian LPP Kedah bagi Pertubuhan Peladang Negeri Kedah (PPNK) di PPN Jentera Asun pada Isnin.

Mahfuz turut menyambut baik pengenalan Skim Takaful Tanaman Padi oleh Agrobank, dengan sokongan penuh daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang dipercayai dapat melindungi pendapatan petani yang berdepan risiko.

“Peruntukan RM50 juta untuk Skim Takaful Tanaman Padi akan mula dilaksanakan pada musim akan datang. Maknanya, kalau berlaku bencana dan sebagainya bukan lagi bantuan daripada kerajaan disalurkan sebaliknya daripada syarikat takaful.

“Pihak takaful akan membuat pengiraan sebaiknya dan mungkin dari segi bayarannya lebih daripada apa yang dapat diberikan oleh kerajaan. Caruman pertama diberikan oleh kerajaan sebanyak RM50 juta,” ujarnya.

Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) ini, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi penerima kategori bujang yang dinaikkan kepada RM600 pada tahun depan berbanding RM500 sebelum ini pasti memberikan kelegaan kepada golongan tersebut.

“STR pun ada kenaikan dan pastinya akan meringankan beban anak muda. Namun perlu diingatkan kepada penerima agar bijak menguruskan peruntukan yang diberikan.

“Kalau dapat joli habis tak bermakna, kalau boleh uruskan dana tambahan itu untuk gandakan lagi pendapatan. Saya juga harap peladang yang menerima insentif dapat dibimbing oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) masing-masing agar ia memanfaatkan kehidupan masing-masing,” katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM2.78 bilion subsidi, bantuan dan insentif kepada petani dan nelayan dalam Belanjawan 2025, meningkat daripada RM2.6 bilion tahun ini.

Antara initipati termasuk, projek penanaman padi lima musim dua tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Fasa 1 bakal bermula melibatkan hampir RM1 bilion dengan keluasan hampir 11,000 hektar.

Ia mampu meningkatkan hasil padi sebanyak 15 peratus sekali gus melonjakkan pendapatan sekitar 43 peratus kepada 6,100 pesawah, iaitu RM6,000.

Selain itu, sebanyak RM65 juta disediakan bagi membangunkan perairan dan saliran jelapang padi.

Pada 15 September, dilaporkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memperkenalkan Skim Takaful Tanaman Padi, insurans patuh syariah pertama dalam negara untuk petani.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!