Israel tawar idea mengarut, syarat serah jasad Yahya Sinwar

Rakaman video dron menunjukkan kesan kemusnahan bangunan yang diserbu dan dibedil Zionis hingga meragut nyawa Sinwar pada Rabu lalu. - Foto Agensi
Rakaman video dron menunjukkan kesan kemusnahan bangunan yang diserbu dan dibedil Zionis hingga meragut nyawa Sinwar pada Rabu lalu. - Foto Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Kabinet perang Israel mengutarakan idea tidak masuk akal di bawah 'kontrak' pertukaran jasad pemimpin Hamas, Yahya Sinwar dengan baki lebih 100 tawanan di Genting Gaza.

Cadangan mengarut itu dibuat ketika mesyuarat keselamatan Knesset pada akhir minggu lalu sebagai jalan penyelesaian bagi pembebasan kumpulan tersebut yang ditahan di Gaza sejak lebih setahun lalu.

Pada Sabtu, CNN memetik kenyataan sumber rejim Tel Aviv melaporkan pemerintah kononnya mahu mencari kaedah bagi menamatkan peperangan di wilayah tersebut melalui pertukaran tawanan dengan menggunakan jasad Sinwar untuk proses tawar-menawar.

“Ia bergantung kepada keputusan Hamas. Jika tidak, jasad Sinwar tidak akan dikembalikan kepada mereka,” jelas sumber diplomatik itu lagi.

Kira-kira tiga hari sebelum itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga memberi jaminan tidak pasti kepada Hamas yang dibenarkan meninggalkan Gaza tanpa diapa-apakan rejim Zionis jika baki tawanan dibebaskan.

Ia disusuli dengan tindakan pesawat Israel yang menggugurkan risalah di Khan Yunis memaparkan gambar Sinwar setelah terkorban dengan mesej provokasi 'Hamas tidak lagi akan memerintah Gaza' yang mengulangi kenyataan retorik Netanyahu, di tengah-tengah kempen pengeboman yang semakin sengit di wilayah tersebut.

“Sesiapa yang meletakkan senjata dan menyerahkan tawanan kepada kami akan dibenarkan pergi dan teruskan hidup,” menurut kandungan risalah itu lagi.

Sinwar gugur syahid di tangan musuh ketika serbuan ganas di Tal al-Sultan di Rafah pada Rabu lalu dan laporan autopsi menunjukkan kematian beliau disebabkan oleh tembakan pada kepalanya. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!