Pengiktirafan terbesar buat Marsha Milan

Marsha ketika menerima Ahli Darjah Kinabalu baru-baru ini.
Marsha ketika menerima Ahli Darjah Kinabalu baru-baru ini.
A
A
A

PENYANYI dan selebriti popular yang berasal dari Sabah, Marsha Milan tidak menyangka akan menerima penghormatan tertinggi negeri Sabah iaitu Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K) sempena ulang tahun ke-71 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Anugerah ini merupakan pengiktirafan yang diberi kepada individu yang telah menyumbang secara signifikan dalam bidang masing-masing dan Marsha diiktiraf atas pencapaiannya dalam industri hiburan serta sumbangannya kepada seni dan budaya Sabah.

Ujar pemilik nama penuh Marsha Milan Londoh, 38, dia berasa amat terharu dan berbesar hati apabila hasil kerjanya mendapat perhatian.

"Saya tidak pernah membayangkan akan diiktiraf sebegini rupa. Ini adalah penghormatan yang sangat besar bagi saya dan memberi motivasi besar untuk saya terus berusaha menjadi lebih baik dalam kerjaya seni saya.

"Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong saya selama ini,” kata Marsha dengan penuh rasa syukur.

Marsha menerima pengurniaan itu daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pada 16 Oktober lalu di Istana Seri Kinabalu.

Tambah Marsha, pengurniaan Ahli Darjah Kinabalu itu telah memberikan anak jati Tamparuli itu inspirasi untuk terus berkarya dan menyumbang kepada industri hiburan Sabah.

Artikel Berkaitan:

Marsha berjanji untuk mengangkat nama Sabah di peringkat dunia selepas ini.
Marsha berjanji untuk mengangkat nama Sabah di peringkat dunia selepas ini.

Marsha juga berharap untuk terus mengangkat nama Sabah dalam industri hiburan dan sedang merancang projek-projek khas untuk peminatnya di Sabah dan berharap dapat terus memperkenalkan budaya dan seni Sabah kepada dunia.

“Cinta saya kepada tempat lahir adalah keutamaan saya. Saya juga bercita-cita untuk membawa lebih banyak elemen kraf Borneo dalam karya-karya saya di masa akan datang, insya-ALLAH," jelasnya.

Sebagai anak jati Sabah, pengalaman membesar di Sabah telah membentuk dirinya sebagai seorang penyanyi dan selebriti yang berjaya.

Meskipun menghadapi cabaran untuk menembusi industri hiburan pada awal kariernya, Marsha berjaya membuktikan bakatnya dan kini menjadi salah satu ikon dalam industri.

“Sebenarnya, saya tidak pernah membayangkan diri saya akan berada dalam industri hiburan kerana platform pada zaman saya sangat terhad.

"Bagaimanapun alhamdulillah, saya berjaya menembusi industri ini. Sekarang, saya lihat semakin ramai bakat dari Sabah yang mendapat tempat dan saya sangat gembira untuk berada di atas pentas bersama-sama mereka," ujarnya.

Berkongsi pesanan dan cara untuk terus kekal relevan dalam industri, pelatun Hening Rindu itu berkata, apa yang penting adalah terus mengejar impian dengan dedikasi dan kegigihan.

"Jangan hanya mengejar populariti, tetapi fokus pada bakat dan minat anda yang sebenar.

"Bagi kekal relevan dalam industri, saya perlu mencuba pelbagai peranan, dari berlakon, menjadi pengacara televisyen dan majlis sehingga menyanyi sebagai vokalis latar.

"Saya juga keluarkan duit sendiri untuk menerbitkan single saya, tetapi semuanya berbaloi dan saya tidak pernah menyesal,” tutur Marsha.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!