Polis tahan dua lelaki, rampas 214 karton arak seludup

Kumarasan (dua dari kiri) menunjukkan arak seludup yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di sekitar kawasan Gelang Patah, di Iskandar Puteri, minggu lalu.
Kumarasan (dua dari kiri) menunjukkan arak seludup yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di sekitar kawasan Gelang Patah, di Iskandar Puteri, minggu lalu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis merampas 214 karton arak seludup bernilai RM98,000 serta menahan dua lelaki dalam dua serbuan berasingan di sekitar kawasan Gelang Patah, di sini, minggu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, dalam serbuan pertama pihaknya menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Lebuhraya Tanjung Pelepas, Tanjung Kupang.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kereta berkenaan dinaiki lelaki warga tempatan berusia 31 tahun dan terdapat pelbagai jenis minuman keras dipercayai di seludup tanpa cukai kastam dalam kenderaan itu.

"Kita kemudian merampas 188 karton arak dan sebuah Toyota Estima sempena pemeriksaan berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, pada Isnin.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau jenayah dan dadah manakala ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah.

"Suspek warga tempatan itu yang ditahan reman selama lima hari sehingga Isnin dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Kumarasan berkata, pihaknya merampas 26 karton arak pelbagai jenis, juga dipercayai tiada cukai Kastam di sebuah restoran di Tanjung Pelepas pada jam 9.30 malam.

Katanya, polis turut menahan seorang warga asing yang juga pekerja restoran berkenaan berusia 31 tahun yang turut direman 10 hari bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Suspek bagaimanapun didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan awal air kencing didapati negatif dadah.

"Bagaimanapun, kita sedang mengesan pemilik restoran tersebut iaitu seorang lelaki warga tempatan," katanya.

Untuk rekod, jumlah nilai rampasan arak dalam dua operasi itu adalah sebanyak RM98,579.82, manakala MPV yang disita dianggar bernilai RM20,000 yang dipercayai bagi kegunaan di sekitar Kulai dan Wilayah Iskandar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, manakala warga asing turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!