MP Machang 'rayu' dibenar berada di Galeri Awam Parlimen
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal akan menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk mempertimbangkan semula larangan berada di Galeri Awam Parlimen yang telah dikenakan terhadapnya, minggu lalu.
Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, peraturan tersebut tidak masuk akal selain menyifatkannya sebagai berlebihan kerana beliau juga merupakan seorang Ahli Parlimen yang dipilih rakyat.
"Apakah saya ancaman kepada Parlimen? Apakah muka dan keberadaan saya memberi tekanan dan terlalu bahaya untuk berada di Parlimen walaupun saya tidak dapat cakap satu perkataan.
"Saya tidak tahu peraturan mana (yang dirujuk) dilarang masuk ke tempat pemerhati, Galeri Awam dan tempat petugas. Saya tidak bercakap langsung.
"Adakah saya diberi layanan lebih rendah berbanding pegawai, malah lebih rendah daripada orang awam yang menonton sidang dewan," katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen, pada Isnin.
Terdahulu pembangkang sebelum sesi perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat mempersoalkan larangan terhadap Wan Ahmad Fayhsal untuk mengikuti persidangan dari Galeri Awam Dewan Rakyat.
Sementara itu menurut Wan Ahmad Fahysal, Ahli Parlimen Gelang Patah pada 2018, Tan Sri Lim Kit Siang pernah digantung daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan, namun dibenarkan berada dalam dewan tetapi tidak terbabit dalam perbahasan.
"Kenapa ketika ini, sebuah kerajaan yang diketuai oleh Ketua Reformasi Malaysia, bukan sahaja menafikan hak saya untuk membela diri dalam Jawatankuasa Khas kerana kononnya saya bawa surat layang, malah saya sendiri dilarang masuk untuk memerhati,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!