Pertikaian peruntukan kaum India perlu dihentikan - R Ramanan

Ramanan
Ramanan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan individu yang mempertikaikan peruntukan sebanyak RM130 juta kepada komuniti India menerusi Belanjawan 2025 baru-baru ini perlu dihentikan segera.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, perbuatan tersebut dibimbangi bakal memberi pengaruh negatif kepada masyarakat India.

"Sepatutnya saya tak mahu cakap benda ini tapi saya ingat penting saya bagitahu. Kalau kita lihat daripada Bajet 2025 ada beberapa (pihak), dia golongan yang sedikit saja tetapi saya tidak mahu komuniti India terpengaruh.

"Dia cakap bajet dikeluarkan RM130 juta saja bagi komuniti India, dah banyak kali Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cakap 'Saya tak nak pecah-pecahkan komuniti A saya bagi banyak macam ini, komuniti B bagi macam ini, C macam ini. Tiada.

"Jadi, kalau kita lihat dia orang cakap RM130 juta saja bagi komuniti India, adakah bermaksud RM2 bilion yang disediakan untuk kesihatan bukan untuk komuniti India? India tak dapat? Adakah itu yang dimaksudkan?

"Kemudian, RM64 bilion untuk Kementerian Pendidikan, adakah pendidikan itu khas untuk sekolah kebangsaan? atau sekolah Cina? Tiada," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Program Pembiayaan BRIEF-i pada Isnin.

Tambah beliau, peruntukan yang disediakan kerajaan merangkumi semua pihak dan lapisan masyarakat termasuk pelbagai skim yang ditawarkan.

"Dia (peruntukan) untuk semua. Jadi, ada banyak yang ada di situ. Ada banyak skim. Contohnya, skim mikrousahawan yang bukan bawah Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Artikel Berkaitan:

"Skim itu ada RM300 juta disediakan. Adakah bermaksud komuniti India tidak boleh membuat permohonan? Jadi, jangan kita putar belit, jangan nak perendahkan apa yang sudah diumumkan.

"Semua ada, banyak ada. Kalau kita lihat, contoh BRIEF-i ini, kalau kita lihat dalam bajet 2023, tiada BRIEF-i RM50 juta. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), RM50 juta tiada dalam bajet. Jadi, kalau nak keluarkan satu kenyataan teliti dahulu sebelum keluarkan," tegasnya.

Beliau berkata demikian dipercayai bagi menjawab kenyataan yang dibuat Naib Ketua Bersekutu, Datuk Seri Sanjeevan berkaitan jumlah peruntukan kepada komuniti India.

Sebelum ini media melaporkan, Sanjeevan mendakwa, walaupun Belanjawan 2025 memperuntuk sebanyak RM421 bilion iaitu peningkatan 3.3 peratus daripada RM407.5 bilion tahun sebelum ini namun masih ada yang tidak gembira mengenainya.

Menurut beliau, ia termasuk kaum India yang merupakan komuniti ketiga terbesar di negara ini kerana peruntukan itu dianggap sekadar RM130 juta.

Pada Jumaat, Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM130 juta untuk melaksanakan pelbagai program, termasuk pembiayaan perniagaan komuniti India.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!