Kastam lapor polis dakwaan lindungi kontena muatan rokok

Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin
Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan tohmahan yang tular mendakwa agensi penguat kuasa itu melindungi sebuah kontena yang membawa muatan rokok.

Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, dakwaan itu merupakan tohmahan yang dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, satu laporan polis sudah dibuat berhubung dakwaan terbabit.

"Sebagai Ketua Pengarah Kastam tidak mempunyai kuasa untuk mengecualikan atau melepaskan mana-mana pihak daripada membayar cukai kerana ia di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

“Akaun media sosial terbabit mendakwa kontena terbabit dilepaskan atas arahan Ketua Pengarah Kastam yang melibatkan kerabat diraja,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Anis Rizana berkata, berdasarkan rekod kontena berkenaan membawa barangan yang sudah melalui proses kerja dan prosedur JKDM.

Tambahnya, kontena berukuran 12.19 meter berkenaan berstatus full container load (FCL) dan berdasarkan Borang Kastam (BK1) diikrarkan sebagai 1,071 unit bagasi.

“Rekod imej mesin pengimbas dan pemeriksaan fizikal yang dilakukan ke atas kontena mengesahkan bahawa maklumat barang dagangan di dalam Borang K1 adalah sama seperti yang diikrarkan iaitu beg bagasi.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, JKDM berpuas hati bahawa pengikraran yang dilakukan adalah mematuhi kehendak Seksyen 79 Akta Kastam 1967, pengimport juga membayar Cukai Jualan Import dan dagangan,” katanya.

Tegasnya, pegawai JKDM komited dan jelas mengenai kuasa yang ada di bawah undang-undang bertulis tadbiran JKDM dan sentiasa mengamalkan sikap cekap, tangkas dan berintegriti dalam menjalankan tugas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!