Diam-diam suami mencarum, isteri terima faedah skim suri rumah
KOTA BHARU - Rasa tanggungjawab seorang suami mencarum skim suri rumah untuk isterinya walaupun wanita itu bekerja membolehkan ibu lima anak tersebut menerima faedah RM900 kerana terjatuh ketika berada di rumah.
Wanita terbabit, Nik Nazura Yusoff, 48, juga seorang guru berkata, tidak menyangka kejadian kemalangan kecil pada 5 Mei lalu itu menyebabkan dia hilang upaya kekal kerana kecederaan pada lutut iaitu koyak ligamen kolateral medial (MCL) tahap satu.
Katanya, dia menerima rawatan leser, namun lulut kanan tersebut kini tidak boleh dibengkokkan selain sakit apabila duduk, berdiri atau berjalan terlalu lama.
Keadaan itu bagaimanapun membolehkan Nik Nazura menerima Faedah Hilang Upaya Kekal RM900 terbabit menerusi caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dicarum suaminya, Raja Zaidi Raja Hassan, 49, sejak Ogos 2023.
“Sebelum kejadian jatuh itu, saya baru pulang dari kerja dan penat memunggah air ke rumah kami kerana tiada air di kawasan tempat tinggal ini.
“Semasa cuba mengambil kain dari dalam almari, saya terjatuh dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta.
"Ketika itu barulah suami teringat dan memberitahu saya tentang caruman ini,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Peringat, di sini, pada Isnin.
Menurut Nik Nazura, dia menjalankan tanggungjawab menguruskan rumah tangga bersendirian kerana menjalani perkahwinan jarak jauh dengan Raja Zaidi yang bekerja di sebuah bank di Kuala Lumpur sejak enam tahun lalu.
Semasa kejadian itu juga, Nik Nazura sedang mengemas baju suaminya yang akan pulang ke Kuala Lumpur selepas cuti hujung minggu.
“Keadaan saya kini semakin baik walaupun sebelah kaki tidak dapat dibengkokkan.
“Saya terus menjalani fisioterapi dan kos-kos rawatan perubatan ini juga boleh dituntut melalui SKSSR,” katanya.
Dalam pada itu, Raja Zaidi, berkata, caruman itu sebagai tanda penghargaan kepada isterinya yang sudah banyak berkorban menguruskan lima anak mereka bersendirian.
Justeru, dia mendapat kesedaran awal untuk mencarum SKSSR semasa pihak PERKESO membuat promosi skim itu di tempat kerjanya pada Ogos tahun lalu.
“Saya buat persediaan awal untuk isteri yang berpenat lelah menguruskan rumah tangga dan anak-anak bersendirian di kampung manakala saya pula hanya bersama mereka dua hari seminggu.
“Saya berniat untuk meneruskan caruman SKSSR RM120 setahun ini selain mengajak rakan sekerja untuk turut sama mencarum kerana saya sudah melihat sendiri manfaatnya,” kata Raja Zaidi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!