29 terbunuh ketika Israel tingkat serangan di utara Gaza

Asap berkepul-kepul dari tapak serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan Al-Saftawi di utara Semenanjung Gaza. Foto AFP
Asap berkepul-kepul dari tapak serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan Al-Saftawi di utara Semenanjung Gaza. Foto AFP
A
A
A

BANDARAYA GAZA - Sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh dalam serangan intensif Israel di utara Semenanjung Gaza pada Isnin, lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik sumber perubatan.

Bedilan artileri menyasarkan sebuah sekolah yang menempatkan orang awam yang terpaksa berpindah berhampiran Birket Abu Rashid di Jabalia, mengorbankan tujuh nyawa dan mencederakan puluhan yang lain, menurut sumber perubatan.

Menurut saksi, orang awam berkumpul atas arahan tentera Israel di Sekolah Kreism yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum sebuah kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah mereka.

Enam orang turut terbunuh apabila serangan udara Israel menyasarkan sekumpulan orang awam yang sedang mengisi bekas air di Jabalia al-Balad di utara Gaza, menurut pasukan perubatan.

Orang yang cedera semasa operasi Israel di kem pelarian Jabalia di tengah Semenanjung Gaza tiba di hospital Arab Al-Ahli, juga dikenali sebagai hospital Baptist di Kota Gaza. Foto AFP
Orang yang cedera semasa operasi Israel di kem pelarian Jabalia di tengah Semenanjung Gaza tiba di hospital Arab Al-Ahli, juga dikenali sebagai hospital Baptist di Kota Gaza. Foto AFP

Empat lagi rakyat Palestin maut apabila serangan dron Israel menyasarkan orang awam berhampiran Hospital Al-Yemen Al-Saeed di Kem Jabalia, kata satu lagi sumber perubatan.

Tiga orang turut terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam serangan Israel ke atas Sekolah al-Shawa yang menempatkan orang awam yang terpaksa berpindah di bandar utara Beit Hanoun, kata sumber itu lagi.

Di Bandaraya Gaza, sembilan rakyat Palestin terkorban dan puluhan cedera akibat bedilan Israel ke atas sebuah rumah berhampiran Birket Sheikh Radwan di bahagian utara bandar itu, menurut saksi.

Artikel Berkaitan:

Tentera Israel meneruskan serangan besar-besaran yang kini memasuki hari ke-17 di utara Gaza di tengah-tengah sekatan ketat di kawasan itu.

Serangan ini adalah episod terkini dalam serangan ganas Israel yang telah mengorbankan lebih 42,600 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan 99,800 yang lain sejak tahun lepas.

Serangan Israel telah menyebabkan hampir keseluruhan penduduk Gaza terpaksa meninggalkan rumah mereka di tengah-tengah sekatan berterusan yang mengakibatkan kekurangan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan.

Israel kini berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tindakannya di Gaza. - Bernama-Anadolu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!