'Selesaikan isu kekurangan pekerja hotel terlebih dahulu'

Gambar hiasan 123RF. Gambar kecil: Sri Ganesh
Gambar hiasan 123RF. Gambar kecil: Sri Ganesh
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) digesa memberi keutamaan kepada masalah kekurangan tenaga pekerja perhotelan sebelum isu menyelaraskan semula waktu daftar diselesaikan.

Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel berkata, kegagalan kerajaan untuk menyelesaikan isu itu telah menimbulkan kesan tidak memuaskan terhadap industri perhotelan, memperlahankan pertumbuhan dan menambah bebanan operasi hotel untuk mengekalkan standard perkhidmatan yang baik.

“Hotel berlesen di Malaysia komited kepada standard perkhidmatan tinggi dan memahami kepentingan menjaga kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.

“Namun kami juga telah berulang kali memohon dan menyuarakan isu kritikal berkaitan kekurangan pekerja kompeten terutamanya dalam kalangan pekerja tempatan yang menjadi cabaran utama kepada kelancaran operasi hotel.

“Kekurangan ini telah menjadi faktor utama menyebabkan kelewatan dalam penyediaan bilik penginapan yang menjejaskan pengalaman pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, pengusaha hotel digesa menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari, kata menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau berkata, penginapan 23 jam sehari merupakan perkara biasa di luar negara dan perkara tersebut tidak menjejaskan soal kebersihan atau kualiti penginapan, malah pengguna juga merasakan wang yang dibelanjakan berbaloi dengan perkhidmatan diterima.

Dalam pada itu, Sri Ganesh memaklumkan, permohonan untuk mengambil pekerja asing harus dipermudahkan dengan mengurangkan birokrasi dan memperluas akses kepada negara sumber yang menyediakan pekerja dengan kepakaran dalam bidang hospitaliti dan pelancongan.

Artikel Berkaitan:

“Berkenaan bandingkan Malaysia dengan negara luar, kami ingin mengingatkan bahawa setiap negara mempunyai cabaran dan kawal selia yang berbeza.

“Harga jualan penginapan di Malaysia jauh lebih rendah berbanding negara lain yang setaraf dan ini harus diambil kira dalam membuat perbandingan adil.

“Kos operasi dan kawal selia tempatan memerlukan pendekatan sesuai dengan keadaan ekonomi dan pasaran tempatan. Jika perlu mengikut mana-mana negara yang dibandingkan tersebut, perlu lihat jumlah pekerja, harga jualan serta kos operasi hotel,” jelasnya.

Mengulas lanjut berkenaan mengawal selia Penginapan Sewaan Jangka Pendek (STRA), beliau berkata, ia menyebabkan penyedia perkhidmatan tersebut bebas menjual bilik penginapan tanpa mematuhi standard industri perhotelan.

Tegasnya, STRA tidak terikat dengan undang-undang dan peraturan ketat seperti hotel berlesen yang melibatkan aspek keselamatan, kebersihan dan kualiti perkhidmatan.

“Waktu daftar masuk dan keluar tidak mengikut amalan kebiasaan dalam industri telah menyebabkan pelanggan terbiasa dengan situasi salah dan menyangka bahawa semua pembekal penginapan beroperasi dengan cara sama.

“Akibatnya, persaingan tidak adil ini bukan sahaja telah menjejaskan pendapatan hotel secara drastik tetapi juga mencemarkan imej serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelanggan mengenai standard yang sepatutnya,” ujarnya.

Kata beliau, masalah dalam industri berkenaan semakin kritikal disebabkan ketiadaan kawal selia terhadap Agensi Pelancongan Dalam Talian (OTA) yang boleh mencetuskan pelbagai isu dan mencemarkan imej industri perhotelan.

“Kesimpulannya, kami berharap semua masalah dapat ditangani dengan pendekatan yang segera, menyeluruh dan adil.

“Industri perhotelan komited untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan namun sokongan berkesan daripada pihak kerajaan adalah kunci untuk memastikan industri ini kekal kompetitif dan berkembang,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!