Liek Hou masih belum berpuas hati

Liek Hou
Liek Hou
A
A
A

PEMAIN badminton para negara, Cheah Liek Hou masih belum berpuas hati meskipun melakar pencapaian cemerlang tahun ini termasuk mempertahankan pingat emas dalam kategori SU5 (kecacatan fizikal), pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

Dengan rekod tanpa kalah dalam semua lima pertandingan tahun ini termasuk di Sukan Paralimpik, Liek Hou meletakkan sasaran untuk menamatkan musim yang luar biasa dengan melakar satu lagi kemenangan di Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Bahrain 2024 pada Disember depan.

"Saya akan cuba sedaya upaya (untuk memenangi kejohanan di Bahrain). Selepas balik dari Paris, sudah lama saya tidak menjalani latihan penuh kerana fokus rehat dan saya kurang pasti dengan persiapan pemain lain.

"Sekiranya keadaan saya baik sebelum ke Bahrain, saya memang sasar untuk menang kejohanan dan menutup tahun ini dengan menang semua," katanya.

Pemain nombor satu dunia itu mempertahankan emas pada dua edisi berturut-turut di Paralimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024, selepas mengalahkan lawannya dari Indonesia, Suryo Nugroho dengan mata 21-13, 21-15 dalam masa 42 minit.

Liek Hou menganggap kejohanan di Bahrain sangat mencabar, terutama statusnya sebagai pemain yang menduduki ranking teratas dalam Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pemain berusia 36 tahun itu bercadang untuk kembali menjalani latihan penuh pada pertengahan bulan depan, untuk persiapan menghadapi pertarungan terakhir tahun ini, yang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 15 Disember di Manama.

Walaupun tidak berlatih bersungguh-sungguh selepas Paris 2024, juara dunia lapan kali itu mengakui beliau benar-benar menikmati rehat yang sangat diperlukan.

Artikel Berkaitan:

"Saya ambil kesempatan menolak dua kejohanan selepas Paris 2024 namun tetap berlatih, tetapi tidak bersungguh-sungguh.

"Saya hanya nak rehatkan badan dan minda selain ada urusan peribadi," katanya.

Sementara itu, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu mempunyai perancangan yang menarik sebelum kembali menjalani latihan.

Selain pingat emas Paris 2024, Liek Hou merangkul empat gelaran iaitu Kejohanan Badminton Para Dunia BWF 2024, Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol I dan II 2024 serta Kejohanan Empat Negara Badminton Para Antarabangsa 2024. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!