SPRM perlu audit forensik, teliti ketidakpatuhan pengurusan projek

SPRM digesa menjalankan audit forensik bagi meneliti sebarang ketidakpatuhan pengurusan projek dan konsesi termasuk kos dibelanjakan serta pemberian tender. Gambar kecil: Zainal Adnan Abdul Halim
SPRM digesa menjalankan audit forensik bagi meneliti sebarang ketidakpatuhan pengurusan projek dan konsesi termasuk kos dibelanjakan serta pemberian tender. Gambar kecil: Zainal Adnan Abdul Halim
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan audit forensik bagi meneliti sebarang ketidakpatuhan pengurusan projek dan konsesi termasuk kos dibelanjakan serta pemberian tender.

Yang Dipertua Ikram Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, badan penguatkuasaan itu memainkan peranan untuk menilai sama ada proses tender konsesi berkenaan dijalankan secara telus, kompetitif dan mengikut prosedur yang sah.

Menurutnya, jika terdapat bukti kukuh menunjukkan manipulasi atau pemberian konsesi tidak adil, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mereka yang terlibat.

“SPRM diharapkan dapat menjalankan siasatan terperinci dengan segera dan membuat pembongkaran sekiranya ada salah laku atau ketidakaturan dalam pemberian konsesi ini.

“Siasatan lengkap perlu dilakukan dengan mengumpulkan bukti termasuk dokumen perjanjian konsesi, laporan kewangan serta rekod pertemuan antara pihak terlibat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan siasatan SPRM melibatkan kes Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) berkaitan rasuah konsesi perlombongan pasir yang turut melibatkan seorang ahli politik berpengaruh di Selangor.

SPRM juga telah menggeledah enam premis iaitu sebuah kediaman dan lima unit pejabat di sekitar Lembah Klang berhubung siasatan skandal rasuah perlombongan pasir.

Dalam pada itu, Zainal Adnan menegaskan siasatan terhadap semua pihak terlibat termasuk pegawai yang masih berkhidmat dan mereka yang telah meninggalkan MBI juga perlu dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, syarikat atau pegawai kerajaan negeri yang terlibat dalam pengurusan memperoleh konsesi juga perlu disiasat.

“Jadi, SPRM sewajarnya bertindak untuk memastikan negara ini bebas daripada perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Ini kerana kes berprofil tinggi perlu menekankan kepentingan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan awam, lebih-lebih lagi ia memberi kesan kepada masyarakat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!