Mimpi ngeri di Gaza makin memuncak
BEIT LAHIA - Sebahagian besar penduduk Palestin di utara Genting Gaza tidak dapat menahan kesedihan selepas ahli keluarga mereka menjadi korban kezaliman terbaharu rejim Zionis setelah kempen pengeboman sengit berlarutan selama lebih tiga minggu.
Hujan peluru pada lewat Sabtu mengakibatkan kemusnahan dahsyat di blok penempatan penduduk di Beit Lahia yang turut meragut sekurang-kurangnya 73 nyawa dan ramai mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Sehari selepas itu, Hospital Kamal Adwan yang menjadi kompleks perubatan utama di kawasan itu dibanjiri ahli keluarga mereka yang gugur syahid selain mangsa cedera yang terpaksa dirawat di lantai kemudahan berkenaan.
Bagi mangsa yang terselamat kempen pengeboman itu, hidup berpindah-randah tanpa arah tuju sejak setahun lalu hanya menambah kesengsaraan buat mereka.
“Kami ke sana sini sehelai sepinggang bersama dengan anak-anak. Kami terpaksa berjalan jauh ke Bandar Gaza. Kami sangat lelah dengan situasi ini dengan tiada makanan atau susu untuk bayi kami,” kata Mariam Hamuda, 33 dalam nada hiba.
Wanita tersebut adalah antara ribuan penduduk Palestin yang melalui perjalanan berbahaya setelah melarikan diri daripada operasi ketenteraan dilancarkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di Jabalia dan kawasan sekitarnya pada 6 Oktober lalu.
“Kami tiba di tengah Gaza dari Beit Lahia ketika pertempuran makin sengit di sana. Kami tidak tahu mahu ke mana lagi. Keluarga kami tidak boleh terus hidup begini. Ia seperti menunggu kematian yang bakal datang pada bila-bila masa,” ujar Ibrahim Hamuda, 66.
Zionis menggempur semula utara Gaza atas alasan untuk menghalang pejuang Hamas bergabung semula hingga memaksa ratusan ribu penduduk Palestin melarikan diri ke tengah enklaf tersebut.
KEMPEN BUNUH MAKIN AGRESIF
“Mimpi ngeri di Gaza semakin memuncak di tengah-tengah konflik yang semakin sengit di utara wilayah itu, sekali gus memburukkan lagi malapetaka kemanusiaan sejak lebih 12 bulan lalu,” tegas Penyelaras Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Proses Damai Asia Barat, Tor Wennesland.
Sementara itu, pemangku Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Joyce Msuya mendedahkan pasukan penyelamat juga dihalang untuk membantu mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan struktur.
“Bekalan penting semakin berkurangan. Hospital yang dibanjiri mangsa cedera juga dibedil sewenang-wenangnya,” menurutnya.
Zionis yang terus memperhebatkan kempen membunuh orang awam tidak berdosa dengan angkuh menyatakan operasi itu kononnya telah mengorbankan ramai pejuang Hamas selain menghapuskan markas mereka.
Agensi Pertahanan Awam di Gaza bagaimanapun memaklumkan kempen keganasan tersebut telah membunuh lebih 400 orang dalam tempoh dua minggu ketika serangan di Lubnan juga semakin menggila.
IDF turut bertindak zalim menyekat kemasukan bantukan kemanusiaan ke Gaza meskipun PBB memberi amaran tentang ancaman kebuluran di wilayah terkepung itu.
Bagi mereka yang terperangkap di utara Gaza, pertempuran tanpa henti hanya memburukkan lagi penderitaan mereka.
“Kami tiada bekalan makanan, air minuman, ubat-ubatan dan terpaksa menahan lapar. Keadaan semakin teruk. Setiap hari kami hidup dalam ketakutan dan tertanya-tanya bila pula ajal kami akan tiba,” rintih Ahmad Saleh, 36. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!