Debaran siapa yang masuk dalam kumpulan T15

Kerajaan masih memperhalusi pengelasan kategori T15 agar lebih adil. Gambar hiasan
Kerajaan masih memperhalusi pengelasan kategori T15 agar lebih adil. Gambar hiasan
A
A
A

BERDASARKAN pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyebut mengenai kumpulan T15 dan beberapa subsidi yang dikurangkan bagi golongan tersebut.

Sudah tentu yang menarik perhatian ialah mengenai penyasaran subsidi RON95 yang akan dilaksanakan pada pertengahan tahun depan melibatkan golongan maha kaya tersebut.

Pelaksanaan itu boleh menjimatkan sehingga RM8 bilion kerana 40 peratus subsidi RON95 ketika ini dinikmati warga asing dan golongan T15.

Siapa sebenarnya golongan T15 ini? Ini yang menjadi persoalan sebilangan rakyat Malaysia yang bimbang sekiranya mereka tergolong dalam kumpulan tidak layak lagi menerima subsidi.

Golongan T15 adalah merujuk kepada ‘top 15 peratus’ dalam konteks pendapatan isi rumah.

Secara umumnya, pendapatan isi rumah di Malaysia dikategorikan kepada tiga golongan utama iaitu golongan berpendapatan rendah (B40), berpendapatan sederhana (M40) dan berpendapatan tinggi (T20).

Jadi, golongan T15 termasuk dalam kategori T20 tetapi merujuk lebih spesifik kepada isi rumah yang berada dalam 15 peratus teratas dari segi pendapatan. Maknanya mereka yang mempunyai pendapatan lebih tinggi dalam golongan T20.

Adakah mereka yang bergaji tinggi tetapi hanya dia seorang yang menanggung keperluan seisi rumah dikelaskan dalam kategori ini? Ini juga antara persoalan yang ditimbulkan.

Artikel Berkaitan:

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli kelmarin menjelaskan bahawa kerajaan masih memperhalusi pengelasan kategori T15 agar lebih adil.

Ia tidak lagi akan dibuat berdasarkan pendapatan kasar isi rumah semata-mata, sebaliknya akan mengambil kira pelbagai faktor.

Benar, walaupun ada antara kita yang tergolong dalam M40 dan T20, tapi sebenarnya lebih ‘miskin’ daripada golongan B40 kerana mempunyai banyak tanggungan dan komitmen lain, dalam masa sama tidak layak menerima sebarang bantuan.

Oleh itu, diharapkan pengelasan yang diputuskan kerajaan nanti dibuat secara adil agar tidak menganiaya mereka yang tidak sepatutnya tergolong dalam kategori tersebut.

Dalam masa sama, kita berharap penjimatan dilakukan kerajaan nanti betul-betul dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terutama dalam pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam di negara ini yang masih banyak kelemahan dan perlu ditambah baik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!