Buku doa, tasbih ditemui bersama jasad Yahya Sinwar

Antara barang yang ditemui milik Yahya Sinwar. Foto Agensi
Antara barang yang ditemui milik Yahya Sinwar. Foto Agensi
A
A
A

RAFAH - Israel mendedahkan satu rakaman video memaparkan barangan milik pemimpin Hamas, Yahya Sinwar selepas beliau syahid akibat dibunuh pada Khamis lalu.

Barangan tersebut ditemui bersama jasad Sinwar di Tal-Al-Sultan, Rafah di Gaza Selatan.

Antara barangan yang dijumpai ialah buku doa, tasbih, jam tangan, pita pelekat, gula-gula, kad Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), wang tunai dan beberapa barangan lain.

Menurut laporan, dipercayai Sinwar berada jauh daripada kawasan tumpuan awam sekali gus menafi dakwaan Israel bahawa beliau berada di kawasan orang ramai yang kononya untuk dijadikan perisai.

Sinwar semasa hidup seorang yang cukup digeruni oleh rejim Zionis. Foto Agensi
Sinwar semasa hidup seorang yang cukup digeruni oleh rejim Zionis. Foto Agensi

Kematian Sinwar juga menunjukkan beliau menjalani hari-hari terakhirnya tanpa makanan.

Terdahulu, Angkatan Pertahanan Israel mengesahkan bahawa Sinwar telah dibunuh pada Khamis selepas Israel menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan menggunakan rekod gigi untuk mengesahkan identitinya.

Sementara itu hasil bedah siasat mendapati Sinwar terbunuh kerana terkena tembakan di kepala.

Artikel Berkaitan:

Dr Chen Kugel, yang mengendalikan bedah siasat memberitahu akhbar New York Times bahawa Sinwar pertama kali cedera di lengan oleh serpihan, kemungkinan daripada peluru berpandu atau (peluru) kereta kebal.

Dr Kugel berkata, tembakan di kepala itu membunuh Sinwar, namun tidak jelas siapa yang melepaskan tembakan dan senjata apa yang digunakan.

Orang ramai memandu melepasi papan iklan gergasi yang memaparkan wajah Yahya Sinwar yang dipasang di dataran Palestin di Teheran, Iran.
Orang ramai memandu melepasi papan iklan gergasi yang memaparkan wajah Yahya Sinwar yang dipasang di dataran Palestin di Teheran, Iran.

Sinwar dinamakan Ketua Utama kumpulan itu pada 6 Ogos lalu sebagai pengganti kepada bekas ketua politik, Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Teheran pada 31 Julai lalu.

Sinwar sejak sekian lama menjadi sasaran Israel yang memburu dan mahu membunuhnya sejak permulaan perang.

Dilahirkan di kem pelarian di bandar selatan Gaza Khan Younis, Sinwar, 62, dipilih sebagai ketua Hamas di Gaza pada 2017.

Pemimpin itu menghabiskan separuh umur dewasanya di penjara Israel, adalah pemimpin Hamas paling berkuasa ketika hayatnya selepas pembunuhan Haniyeh. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!