Bersediakah majikan dengan gaji baharu?

Tidak mustahil ada majikan mungkin terpaksa mengalihkan kos tambahan kepada pengguna kerana perlu mencari duit lebih untuk membayar gaji pekerja mereka. Gambar hiasan
Tidak mustahil ada majikan mungkin terpaksa mengalihkan kos tambahan kepada pengguna kerana perlu mencari duit lebih untuk membayar gaji pekerja mereka. Gambar hiasan
A
A
A

PENGUMUMAN peningkatan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 berkuat kuasa 1 Februari 2025 dalam pembentangan Belanjawan 2025 sememangnya memberi khabar gembira buat golongan pekerja. Arahan itu juga terpakai kepada pekerja warga asing di negara ini.

Walaupun kenaikannya hanya RM200, namun bagi sesetengah orang yang bergaji kecil, ia sangat-sangat membantu lebih-lebih lagi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang.

Nilai RM200 itu amat bernilai bagi mereka buat menampung membeli susu dan lampin anak, membayar hutang tertunggak termasuk membeli barangan keperluan.

Ada juga berpendapat ia masih belum mencukupi, tapi lebih baik daripada tiada langsung. Bersyukurlah.

Ini adalah usaha kerajaan untuk memastikan kebajikan pekerja terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah, sekali gus menggambarkan usaha kerajaan membantu meningkatkan taraf hidup rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penstrukturan ekonomi hanya dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan bersetuju menangguhkan kuat kuasa gaji minimum itu membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu pada 1 Ogos 2025.

Cuma persoalannya, adakah kenaikan gaji minimum ini benar-benar dapat membantu? Apa yang dibimbangkan, ia akan mencetuskan kesan domino terutama membabitkan harga barangan.

Artikel Berkaitan:

Tidak mustahil ada majikan yang mungkin terpaksa mengalihkan kos tambahan kepada pengguna kerana perlu mencari duit lebih untuk membayar gaji pekerja mereka.

Maklum sahaja, kos operasi perniagaan mesti akan meningkat terutamanya bagi majikan dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan yang menggunakan tenaga kerja yang ramai.

Bagi sesetengah majikan, mereka mungkin terpaksa mengkaji semula corak bisnes masing-masing dan yang paling tidak suka kita dengar sekiranya ada yang terpaksa memilih memberhentikan pekerja kerana tidak mampu menanggung kos operasi yang meningkat.

Jadi, majikan perlu buat sesuatu bermula dari sekarang, fikirkan strategi terbaik supaya tiada yang tak gigit jari.

Sememangnya ia berita baik buat golongan pekerja, tapi sebenarnya kurang baik untuk golongan majikan atau tuan punya perniagaan.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), William NG dilaporkan berkata, peningkatan itu akan menyebabkan industri itu bakal terjejas teruk.

Pihaknya mendakwa telah berulang kali menggesa kerajaan melihat alternatif lain bagi meningkatkan gaji rakyat Malaysia, namun nampaknya memilih jalan mudah dengan cara begitu.

Public Invesment Bank dalam nota penyelidikannya berkata, berdasarkan maklumat daripada sumber industri, kos operasi syarikat perladangan tempatan dijangka meningkat sehingga 3.0 peratus ekoran kenaikan itu.

Sebelum pengumuman kenaikan RM1,700 itu pun Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) pada Mac lalu dilaporkan telah meluahkan rasa bimbang mengenai perkara itu dan berpendapat ia mampu melumpuhkan majikan yang sedang bergelut dengan peningkatan kos susulan kenaikan cukai perkhidmatan serta kejatuhan nilai ringgit.

Ini bermakna, walaupun pekerja menerima kenaikan gaji, tapi kuasa beli mereka mungkin tidak jauh berubah jika harga barang turut naik. Sudahnya rakyat akan terus tertekan meneruskan hidup dan episod harga barang naik pula tidak akan berakhir.

Oleh itu, kenaikan gaji minimum perlu diimbangi dengan usaha yang lebih menyeluruh terutama dalam soal mengawal harga barang daripada meningkat.

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2025 bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat, tetapi terdapat beberapa perlu diatasi untuk memastikan benda yang baik ini dapat memberi kesan positif kepada rakyat keseluruhannya.

* Syamilah Zulkifli ialah Ketua Biro Sinar Harian Melaka & N.Sembilan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!