Bayar RM10, boleh lihat 275 haiwan
JOHOR BAHRU - Selepas ditutup pada tahun 2020 bagi kerja-kerja naik taraf selain pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, Zoo Johor kini kembali dibuka bagi kunjungan orang ramai bermula 31 Ogos lalu.
Pembukaan semula zoo tertua di Malaysia seluas 12.5 hektar itu selepas kerajaan negeri memperuntukkan RM9.67 juta melibatkan kerja menaik taraf kemudahan dan infrastruktur, sistem tiket elektronik serta laluan pejalan kaki sekali gus menjadikan lokasi tersebut sebagai produk pelancongan mesra keluarga di negeri ini.
Lokasinya yang strategik dan berada di tengah pusat bandar menjadikannya sebagai antara lokasi yang wajib dikunjungi oleh pelancong.
Kadar harga tiket bagi memasuki zoo berkenaan berpatutan apabila menawarkan RM10 bagi pengunjung dewasa, RM5 (kanak-kanak, warga emas) dan percuma bagi golongan kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak di bawah umur lima tahun.
Selain itu, bagi memudahkan pergerakan pelawat dan melancarkan aliran trafik sekitar kawasan zoo, sebanyak empat shuttle bus disediakan oleh kerajaan negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dengan kekerapan setiap 15 minit dari tempat letak kereta Penjara Ayer Molek ke Zoo Johor.
Seiring dengan wajah baharu zoo berkenaan, koleksi haiwan yang lebih menarik turut ditampilkan meliputi 275 ekor haiwan daripada 53 spesies termasuk mamalia, primata, reptilia dan burung.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan, pembukaan semula Zoo Johor adalah hasil perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Malah Sultan Ibrahim juga berkenan memberikan beberapa haiwan peliharaan istana seperti harimau belang, tapir dan beruang matahari untuk menambah koleksi haiwan di zoo tersebut.
PENGUNJUNG TERUJA
Rata-rata pengunjung yang ditemui kagum dengan penambahbaikan yang dilakukan di zoo berkenaan.
Bagi kakitangan swasta, Syafiq Yazid, 29, ini merupakan kali pertama dia berkunjung ke zoo berkenaan selepas ditutup untuk ditambah baik tiga tahun lalu.
Katanya, kunjungan kali ini ternyata cukup mengujakan kerana banyak perubahan telah dilakukan di zoo berkenaan.
“Memang banyak perubahan yang telah dilakukan di zoo ini berbeza berbanding dahulu sebab banyak fasiliti dan kemudahan baharu yang disediakan.
“Sebagai contoh, ada kemudahan untuk anak-anak bermain. Jadi kita pun tidak risau sebab tahu ke mana anak-anak ini akan pergi.
“Selain itu, ada shuttle bus pengangkutan percuma yang disediakan kepada orang yang datang. Nak parkir kereta pun senang, kemudian naik shuttle bus untuk ke zoo,” katanya yang datang dari Kluang.
Seorang lagi pengunjung, William, 38, berkata, proses penambahbaikan di zoo berkenaan turut melibatkan pertambahan haiwan yang ada.
“Kalau dulu boleh saya katakan zoo ini biasa-biasa sahaja, tetapi sekarang banyak yang telah dilakukan dan ada banyak fasiliti baharu yang dibina untuk kemudahan orang ramai,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!