Indonesia bakal perkukuh keselamatan maritim
SHAH ALAM - Indonesia dijangka memperketatkan polisi keselamatan maritim ekoran Presiden baharunya, Prabowo Subianto mahu melakukan perubahan terhadap pertahanan negara.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Salawati Mat Basir berkata, Prabowo bakal mempertingkatkan pengawasan dan keselamatan di semua perairan khususnya di Wilayah Laut Natuna daripada pencerobohan kapal negara asing.
“Indonesia merupakan negara yang kaya dengan gugusan kepulauan. Jadi, pecahan negara itu sangat luas dari Aceh hingga ke Papua.
“Laut memang kehidupan Indonesia, sebab itu mereka tidak memberi kesempatan kepada mana-mana negara ASEAN atau kuasa asing masuk dan menceroboh (laut),” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Ahad, Prabowo, 73, mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia bagi menggantikan Joko Widodo atau Jokowi.
Beliau kini memegang jawatan sebagai presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia berdasarkan populasi susulan kemenangan Pilihan Raya Presiden 2024 pada 14 Februari dengan memperoleh 59 peratus undi.
Bukan itu sahaja, Prabowo juga bekas Jeneral Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan menteri pertahanan, menjadikannya presiden ketiga berlatar belakang ketenteraan selepas Soeharto dan Susilo Bambang Yudhoyono.
Dalam pada itu, Salawati berkata, pasukan keselamatan perairan Indonesia bakal menggunakan aset pertahanan baharu.
“Ini adalah salah satu cara digunakan presiden baharu itu untuk meningkatkan pengawasan dan keselamatan di perairan negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menjangkakan Prabowo bakal meneruskan maritime fulcrum Indonesia sehingga mereka menjadi negara yang mengetuai lautan di ASEAN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!