Usaha kerajaan noktahkan miskin tegar tumpuan sidang Dewan Rakyat

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Status terkini usaha kerajaan untuk menoktahkan miskin tegar dan mekanisme yang digunakan bagi menentukan kategori miskin tegar antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen perkara berkenaan dikemukakan oleh Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) kepada Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Pada sesi sama, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) meminta Perdana Menteri menyatakan pelan tindakan di bawah agenda reformasi khusus buat syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi demi memastikan keseimbangan antara objektif korporat dan tanggungjawab sosioekonomi nasional tercapai tanpa menjejaskan daya maju, daya saing dan daya tahan ekonomi Malaysia.

Turut menarik perhatian, pertanyaan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) pada sesi soal jawab yang meminta Menteri Pendidikan menjelaskan status terkini pemberian baucar buku seperti yang telah diumumkan dan berapa jumlah peruntukan yang telah disediakan.

Selain itu, Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengemukakan soalan kepada Menteri Perladangan dan Komoditi mengenai langkah strategik untuk meningkatkan hasil komoditi sawit memandangkan pengeluaran semasa yang semakin menyusut dikhuatiri meletakkan industri sawit senasib dengan getah yang tidak lagi mampu menampung keperluan negara.

Usai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan menyambung semula perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2025, yang memasuki hari kedua hari ini.

Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari hingga 12 Disember depan.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!