Dua lelaki ditahan seludup 44 ekor kambing
PASIR MAS - Dua lelaki tidak sempat menghantar 44 ekor kambing yang dipercayai diseludup dari Thailand selepas mereka dicekup oleh Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pegkalan Chepa di Kampung Repek, di sini pada Isnin.
Kedua-dua suspek berusia 20 dan 55 tahun itu ditahan pada jam 12.30 tengah malam semasa anggota melakukan penugasan Op Taring Wawasan selepas melihat sebuah lori jenis Daihatsu yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit telah menemui 44 ekor kambing yang dianggar seberat 2,200 kilogram dipercayai dibawa dari negara jiran tanpa dokumen sah.
"Hasil siasatan awal mendapati dua lelaki terbabit dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup kambing ke pasaran tempatan.
"Anggaran keseluruhan rampasan melibatkan kambing dan kenderaan ialah RM55,000," katanya pada Selasa.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 di mana suspek serta barang rampasan diserahkan ke Kompeni Taktikal (Komtak) Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!