Isu 32 peniaga Cameron Highlands selesai, jangan ada pihak cuba keruh keadaan - Sultan Pahang

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto Facebook Kesultanan Pahang.
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto Facebook Kesultanan Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa isu 32 peniaga di Cameron Highlands telah diselesaikan mengikut peraturan.

Titah baginda, jalan penyelesaian yang diambil kerajaan negeri terhadap isu itu perlu dipatuhi dan dihormati.

Dalam pada itu, baginda dengan tegas mengingatkan agar tiada lagi pihak yang cuba menangguk di air keruh sekali gus memburukkan lagi keadaan.

"Saya hendak perkara ini diharmonikan, jangan ada mana-mana pihak cuba keruhkan keadaan, saya dengar sendiri, saya persoalkan sendiri, saya sudah bertelagah sesama sendiri untuk selesaikan demi penyelesaian terbaik semua pihak.

"Memanglah kita tidak boleh hendak senangkan semua pihak, yang nak bising itu hak dia tapi janganlah berlebih-lebihan," titah baginda menerusi hantaran yang dikongsi di Facebook Kesultanan Pahang.

Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat mendengar taklimat oleh PKCH berkenaan isu dan penyelesaian 32 peniaga di Cameron Highlands pada Isnin. Foto Facebook Kesultanan Pahang.
Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat mendengar taklimat oleh PKCH berkenaan isu dan penyelesaian 32 peniaga di Cameron Highlands pada Isnin. Foto Facebook Kesultanan Pahang.

Baginda bertitah, semua perlu ikut proses (syarat dan perundangan) yang ditentukan.

"Kita semua ini manusia, ada hati dan perasaan. Tidak guna kita melaung-laung (tiada adab) di luar sana sebaliknya selesaikan secara elok.

Artikel Berkaitan:

"Saya sudah dengar taklimat oleh Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) mengenai status isu ini.

"Saya bukan hendak menyalahkan atau menuding jari kepada mana-mana pihak namun perkara ini sudah diselesaikan ikut peraturan," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kerajaan negeri telah mencari jalan terbaik untuk semua pihak termasuklah mereka yang tidak dapat peluang itu.

"Jalan terbaik telah diambil untuk menyelesaikan masalah itu termasuk mencari tempat lain untuk peniaga dan lokasi itu akan dikaji secara teliti oleh kerajaan negeri," titah baginda.

Terdahulu Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat mendengar taklimat oleh PKCH berkenaan isu dan penyelesaian 32 peniaga di Cameron Highlands pada Isnin.

Mengiringi baginda, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!