Kilang proses makanan guna logo halal tak sah
KUALA PILAH - Sebuah kilang makanan diserbu selepas disyaki memasarkan produk menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Perakuan dan penandaan halal di kilang itu dikatakan ditarik balik pada penghujung tahun lalu tetapi didapati masih menggunakan tanda halal pada pembungkusan produknya.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, antara makanan yang dirampas ialah 48 peket biskut panjang.
"Sebanyak 24 peket biskut bulat juga dirampas menjadikan nilai rampasan sebanyak RM266.40.
"Tindakan terhadap kilang ini dibuat di bawah Perintah 4(1) (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) (Pindaan) 2012," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, denda tidak melebihi RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 untuk kesalahan kali kedua bagi perbadanan boleh dikenakan sekiranya didapati bersalah.
"Jika bukan perbadanan atau milikan tunggal denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
"Denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali kedua," katanya.
Ain Arjuna turut mengingatkan pengguna dan peniaga supaya peka terhadap penggunaan logo halal yang sah dan mengemukakan aduan berhubung perkara itu melalui aplikasi WhatsApp di talian 0192794317 atau datang ke KPDNHEP berdekatan.
Terdahulu, serbuan dilakukan penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Kuala Pilah dan Seremban yang bermula jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari itu melibatkan 13 anggota diketuai Ketua cawangan KPDNHEP Kuala Pilah, Ahmad Khuzairi Salamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!