KPDN gempur rangkaian premis jual aksesori telefon tiruan

Pengawai KPDN melakukan pemeriksaan di salah sebuah premis yang diserbu kerana disyakki menjual aksesori telefon tiruan.
Pengawai KPDN melakukan pemeriksaan di salah sebuah premis yang diserbu kerana disyakki menjual aksesori telefon tiruan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 14 premis rangkaian pengedar di sembilan negeri diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) minggu lalu kerana disyaki menjual pelbagai jenis aksesori telefon bimbit disyaki tiruan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan yang dilakukan secara berasingan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang membawa kepada rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM65,000 termasuk dokumen perniagaan serta aksesori telefon.

"Hasil maklumat awal yang diperolehi, kesemua premis terbabit disyaki membekalkan aksesori telefon bimbit tiruan dengan berselindung di sebalik syarikat yang membekalkan aksesori telefon asli, melibatkan pemilikan syarikat yang sama di seluruh negara.

"Operasi dilakukan secara bersepadu oleh anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bersama pejabat KPDN negeri adalah hasil aduan diterima daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar dan risikan awal telah dilakukan.

"Sejumlah 13 kertas siasatan telah dibuka bagi siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah subseksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan berkaitan pemakaian cap dagang secara salah, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 bagi setiap unit barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu atau RM30,000 bagi kesalahan kedua dan yang berikutnya.

Jelasnya, bagi bukan suatu pertubuhan, mereka yang disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap unit barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Syarikat terbabit turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan cap dagangan.

Artikel Berkaitan:

"Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi," katanya.

Justeru, beliau memberi amaran kepada pihak berkaitan agar tidak menjual barangan yang tidak mendapat kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah kerana ia merupakan suatu kesalahan yang serius.

Selain itu, pengguna turut dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan kerana boleh mengakibatkan kerugian kepada rakyat dan negara serta dikhuatiri boleh mengancam keselamatan pengguna itu sendiri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!