Menginap di hotel 23 jam: Kualiti terjejas, tempoh bersih bilik singkat
IPOH - [DIKEMAS KINI] Permintaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk pengusaha hotel menyelaras waktu menginap selama 23 jam perlu difikirkan semula dengan teliti kerana ia akan menimbulkan pelbagai implikasi terhadap sektor perhotelan.
Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pangkor memaklumkan kenyataan dibuat menteri itu dilihat berat sebelah tanpa mengambil kira pandangan pemain industri.
Menurutnya, penyelarasan waktu menginap itu akan menjejaskan kualiti perkhidmatan hotel kerana tempoh untuk membersihkan hotel yang singkat.
"Agak mustahil untuk menyelaras waktu menginap selama 23 jam kerana ia bergantung kepada jumlah bilik dan pekerja.
"Jika ia dilaksanakan, bilik tidak dapat dibersihkan dengan sempurna sekali gus mendatangkan rungutan kepada pelanggan kerana tidak selesa.
"Tempoh menginap selama 22 jam yang dilaksanakan kebanyakan pengusaha hotel ketika ini sudah memadai malah jika mahu dibandingkan dengan hotel di luar negara ada yang hanya beri tempoh 20 jam sahaja. Perkara ini perlu dilihat semula," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurut kenyataan itu, pihak persatuan juga kesal dengan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mendakwa pengusaha hotel mahu menjimatkan kos demi mengaut keuntungan lebih banyak di sebalik tempoh menginap tersebut.
Jelasnya, jumlah tempahan penginapan paling banyak diterima hanyalah pada hujung minggu atau waktu cuti tetapi pada hari biasa tidak penuh.
Menurutnya, kementerian juga tidak wajar menghukum semua pengusaha di sebalik tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Ada dalam kalangan pengusaha yang memberikan masa fleksibel kepada pelanggan untuk masuk lebih awal jika ada bilik yang kosong. Itu juga perlu diambil kira.
"Kita juga berdepan dengan pelbagai kerenah pelanggan yang membuat tempahan bilik tidak mengikut jumlah sebenar yang menginap.
"Keadaan itu turut merugikan pengusaha dan adakah pihak kementerian sedar akan masalah dihadapi oleh kami ini?" katanya.
Jelas kenyataan itu lagi, sektor perhotelan memerlukan nafas baharu untuk menjana pendapatan lebih tinggi di sebalik pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini.
Menurutnya, di sebalik peningkatan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan, pihak pengusaha mengakui akan berdepan bebanan kos operasi selain masalah mendapatkan pekerja.
Katanya, pihak kementerian seharusnya memikirkan usaha untuk merancakkan lagi sektor pelancong di negara ini bagi membantu pengusaha tempatan memandangkan ramai rakyat Malaysia memilih untuk bercuti ke Selatan Thailand.
"Inilah masanya untuk kementerian belajar sesuatu daripada sektor pelancongan di Thailand dan tempoh waktu menginap di hotel di sana tidak jauh beza dengan kita.
"Tapi sektor pelancongan mereka begitu rancak dan pihak kementerian seharusnya mempergiatkan lagi usaha promosi negara ini kepada pelancong asing," katanya.
Pada Ahad, media melaporkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dalam satu kenyataan menggesa pengusaha hotel menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.
Beliau berkata, penginapan 23 jam sehari merupakan perkara biasa di luar negara dan perkara itu tidak menjejaskan soal kebersihan atau kualiti penginapan, malah pengguna juga merasakan wang yang dibelanjakan berbaloi dengan perkhidmatan diterima.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!