8 individu ditahan bantu siasatan kes bunuh lelaki warga Pakistan

Mayat lelaki warga Pakistan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Mayat lelaki warga Pakistan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis menahan lapan individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes bunuh yang membabitkan seorang lelaki warga Pakistan dalam kejadian di sebuah kedai buah di Pulau Tikus pada Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, kesemua mereka berusia 22 hingga 58 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di negeri ini pada pagi Selasa.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada pemilik, pekerja kedai buah serta pemilik kedai motosikal yang terletak bersebelahan dengan kedai buah tersebut.

“Kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini bagi mendapatkan permohonan reman,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, polis kini sedang giat mengesan suspek utama dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Pada Isnin media melaporkan seorang lelaki warga Pakistan maut selepas ditikam lelaki disyaki warga tempatan dalam kejadian di Pulau Tikus.

Kejadian berlaku pada jam 5 petang dan mangsa berusia 48 tahun yang cedera parah telah dibawa ke sebuah klinik swasta di Jalan Datuk Keramat untuk mendapatkan rawatan bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira 6 petang sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!