[VIDEO] Kerajaan setuju Jabatan Audit Negara audit 2,000 GLC - PM

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju supaya Jabatan Audit Negara (JAN) melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mewujudkan era tadbir urus dan pengurusan yang lebih baik di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu juga selari dengan hasrat untuk memastikan mana-mana syarikat kerajaan diurus mengikut mandat sebenar khususnya demi kesejahteraan ekonomi rakyat.

“Gesaan supaya terus diberi pemantauan (terhadap GLC) dan kita telah bersetuju bahawa Ketua Audit Negara audit semua 2,000 GLC ini supaya jadi kejutan (peringatan) kepada semua (supaya) lebih bertanggungjawab.

“Kadang-kadang pelanggaran (dalam tadbir urus) itu masih berlaku (dan) berterusan di beberapa peringkat.

“Tidak ada jalan lain (selain) untuk kita jalankan audit dan pantau terus,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang membangkitkan persoalan mengenai usaha kerajaan untuk memastikan GLC kembali kepada mandat sebenar.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi sebelum ini dilapor berkata, JAN akan melakukan pengauditan terhadap 2,000 GLC bermula tahun depan.

Ia susulan pindaan Akta Audit 1957 pad Julai lalu membenarkan Ketua Audit Negara memeriksa, menyiasat dan mengaudit mana-mana badan lain termasuk syarikat didaftarkan mengikut Akta Syarikat 2016 (Akta 777) yang menerima jaminan kewangan Kerajaan Persekutuan atau negara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengingatkan semua pengurusan GLC yang berdepan kerugian dan pengurusan yang tidak teratur supaya memperbaiki prestasi masing-masing.

“Syarikat yang tidak catat keuntungan atau pengurusan yang lemah harus ambil tanggungjawab mereka (untuk baiki prestasi),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!