Pendekatan noktah kemiskinan tegar tanpa diskriminasi - PM
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pendekatan kerajaan untuk menamatkan kemiskinan tegar adalah tanpa mengira kaum, dengan semua warganegara yang memerlukan bantuan akan disokong tanpa diskriminasi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, walaupun majoriti penduduk miskin di negara ini terdiri daripada masyarakat Melayu dan bumiputera, namun semua kaum, termasuk Cina dan India yang terkesan, akan mendapat bantuan.
"Memang benar, majoriti adalah Melayu, tetapi dalam kategori miskin, ada juga kadar yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat India. Contohnya, di Kuala Lumpur, walaupun majoriti Melayu, masyarakat India juga signifikan dan mempunyai jumlah penduduk yang tinggi.
"Namun, dalam usaha kita menyelesaikan kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, kita tidak akan membahagikan berdasarkan kaum.
"Oleh itu, kita akan menangani semua yang miskin, termasuk jumlah kecil dalam kalangan masyarakat Cina dan jumlah yang lebih besar dalam kalangan masyarakat India.
"Tidak benar jika dikatakan (usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar) hanya untuk Melayu, tetapi memang jumlah tersebut adalah besar dan majoriti dalam kalangan masyarakat Melayu.
"Saya harap penjelasan ini memberikan kejelasan, dan jika ada kenyataan sebaliknya, mohon maklum kepada saya kerana ini bertentangan dengan dasar kita,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan S Kesavan (PH-Sungai Siput) yang berharap pendekatan menoktahkan kemiskinan dilaksanakan kepada semua kaum, termasuk India.
Menjawab soalan asal Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai status terkini usaha kerajaan menoktahkan miskin tegar pada 2023, Anwar berkata pada 31 Jan tahun lepas, sejumlah 126,372 ketua isi rumah kategori miskin tegar telah dikenal pasti dan pada 29 Julai tahun ini, jumlah itu telah diselesaikan.
"Walau bagaimanapun kita tahu angka ini bertambah. Oleh kerana kejayaan ini, terdapat jumlah baharu yang didaftarkan.
"Pada 29 Julai, kita selesai, dan pada 1 Ogos, kita buka untuk penambahan permintaan baharu termasuk (permintaan) yang lama yang merasakan perlu memohon. Jumlahnya adalah 22,893.
"Setakat 21 Oktober tahun ini, 15,029 ketua isi rumah atau 65.6 peratus (miskin tegar) telah diselesaikan, jadi bakinya akan kita tingkatkan," katanya.
Perdana Menteri berkata, kerjasama antara jentera kerajaan Persekutuan dan negeri turut membantu meningkatkan pendaftaran baharu bagi golongan miskin tegar, sekali gus memudahkan usaha kerajaan untuk mengeluarkan mereka daripada kelompok tersebut.
Mengenai mekanisme yang digunakan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan telah menukarkan mekanisme pendapatan isi rumah kepada pendapatan per kapita yang dirasakan lebih tepat dalam menilai pendapatan sebenar rakyat.
"Kita mengubah pendekatan daripada yang digunakan oleh kerajaan terdahulu kepada per kapita berdasarkan maklumat baharu, termasuk Majlis Kos Sara Hidup dan dialog serta sesi libat urus dengan kerajaan negeri yang belum pernah dilakukan sebelum ini," tambahnya.
"Ini bukan pendekatan yang sempurna, tetapi berdasarkan angka yang diberikan, kita telah menyelesaikan tahun pertama, dengan tambahan hampir 22,000 yang hampir selesai.
"Saya yakin kita boleh menyelesaikannya, tetapi adakah ini memuaskan? Tidak. Oleh sebab itu, kita minta... kerajaan negeri tidak ada masalah kerana mereka memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan Persekutuan," katanya.
Menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai penetapan nilai ambang pendapatan individu yang layak memohon bantuan tunai, Anwar berkata perkara itu akan dikaji dengan mengambil kira keperluan peningkatan kos sara hidup.
"Tentang cadangan penepatan nilai ambang, akan kita akan meneliti cadangan baharu dan lihat umpamanya keperluan untuk meningkatkan (nilai ambang) berdasarkan kos sara hidup," katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq mencadangkan agar kerajaan menetapkan nilai ambang secara berkala dan tetap dalam pindaan undang-undang, contohnya mengikut kadar inflasi tahunan atau setiap tiga tahun.
Berhubung pertanyaan Syed Saddiq mengenai arah penyaluran penjimatan kerajaan, Perdana Menteri menjelaskan bahawa meskipun Belanjawan 2025 mengalami defisit, kerajaan tetap berupaya meningkatkan jumlah bantuan hasil daripada langkah penjimatan dan penyasaran subsidi.
"Unjuran penjimatan mungkin berbeza, tetapi setakat ini kita belum tetapkan secara muktamad, kecuali pertambahan peruntukan sebanyak RM3 bilion untuk kelompok miskin melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta peningkatan peruntukan dalam sektor pendidikan dan kesihatan," katanya.
Melalui Belanjawan 2025, kerajaan meningkatkan peruntukan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelumnya, yang dijangka memberi manfaat kepada sembilan juta penerima, bersamaan 60 peratus daripada penduduk dewasa negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!