Lantikan politik dalam GLC ikut kelayakan, profesional - PM

Anwar pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. Foto Bernama
Anwar pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan ahli politik tertentu menganggotai Ahli Lembaga Pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dibuat berdasarkan kelayakan dan profesional dimiliki.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan individu untuk mengisi tempat berkenaan juga turut melalui proses dan semakan dengan pelbagai agensi antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan rekod bersih.

“Apakah mereka itu pernah pegang jawatan politik bukan soalnya. Siapa yang layak kita tidak diskriminasi walaupun orang politik. Syarat dan keutamaan terbesar ialah golongan profesional.

“Melainkan beberapa bidang, umpamanya institusi kewangan dan beberapa agensi yang terikat dengan Bank Negara (BNM) (contohnya) itu tidak diizinkan ahli politik dalam Ahli Lembaga Pengarah.

“Itu memang tegas (tidak lantik orang politik) dan kita dukung yang ditetapkan BNM,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang membangkitkan cadangan supaya Ahli Lembaga Pengarah GLC dipilih dalam kalangan profesional dan tidak lagi mengamalkan lantikan politik atau kakitangan kerajaan.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, individu yang dilantik menganggotai GLC juga sentiasa dipantau keras bagi memastikan mereka menjalankan amanah yang diberikan.

Menurutnya, pemantauan itu juga bagi memastikan mana-mana individu termasuk ahli politik yang dilantik tidak bertindak bertentangan dengan prinsip ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!