Polis Terengganu rampas dadah bernilai lebih RM3.6 juta

Mohd Khairi (kanan) melihat antara dadah yang dirampas ketika Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan 2024 di pekarangan Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu pada Selasa.
Mohd Khairi (kanan) melihat antara dadah yang dirampas ketika Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan 2024 di pekarangan Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM3.6 juta dalam tempoh Januari hingga 30 September tahun ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, rampasan tersebut melibatkan pelbagai jenis dadah termasuk ganja dan syabu dengan anggaran berat 789.71 kilogram diikuti ubat batuk sebanyak 3851.41 liter dan air ketum sebanyak 2974.1 liter.

"Melihat kepada kuantiti jumlah rampasan tersebut, sebanyak 1,044 kes di bawah kategori (bekalan) telah berjaya dibuka di mana 94.40 peratus kes-kes di bawah kategori (bekalan) iaitu Seksyen 39B, 39A (2) dan 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 telah berjaya dituduh di mahkamah sehingga 30 September lepas.

"Selain itu, tindakan juga telah diambil ke atas golongan 'street pusher' yang merupakan ejen-ejen pengedaran kepada golongan pengedar dadah.

"Sejak awal Januari sehingga 30 September lepas, sebanyak 2,330 kes di bawah kategori permintaan iaitu meliputi Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 telah dibuka dan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan oleh Bukit Aman iaitu 2,330 kes," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan 2024 di pekarangan Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu di sini pada Selasa.

Mohd Khairi (kanan) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas di pekarangan Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu pada Selasa.
Mohd Khairi (kanan) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas di pekarangan Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata, peningkatan pertuduhan dua kategori ini jelas memperlihatkan tindakan drastik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu dalam memastikan kegiatan pengedaran dan 'street pusher' dikurangkan ke tahap minimum.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, masalah penagih tegar dadah juga dilihat sebagai cabaran dalam memastikan pengurangan permintaan dadah tersebut.

"Penagih tegar atau 'hardcore' ini tidak akan berhenti dalam pengambilan dadah dan akan terus mengambil dadah walaupun telah dihukum.

"Jadi tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 telah diambil ke atas golongan tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata, pihaknya telah mengambil tindakan ke atas 844 orang di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 sejak Januari sehingga September tahun ini berbanding 1,029 orang telah ditangkap dan dituduh tahun lepas.

Sementara itu, Mohd Khairi berkata, pihaknya melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM2.3 juta yang dirampas sejak tahun 1991 hingga tahun ini.

Katanya, program pelupusan kali ini melibatkan 2,958 kertas siasatan terbahagi kepada tujuh daerah di Kontinjen Terengganu dari tahun 1991 sehingga 2024 dan telah mendapat perintah mahkamah untuk dilupuskan barang kes.

"Ini melibatkan kes-kes tangkapan yang mana suspek telah dijatuhkan hukuman mengikut peruntukkan undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

"Pelbagai jenis dadah dilupuskan termasuk pil yaba, syabu, heroin, air ketum dan ubat batuk.

"Berat keseluruhan dadah yang dilupuskan adalah dianggarkan sebanyak 24,306.74 kilogram dan 19,89.27 liter," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!