Tiga anggota polis didakwa minta, terima rasuah

Tiga anggota polis ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen pada Selasa.
Tiga anggota polis ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Tiga anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tuduhan meminta dan menerima suapan bagi melindungi pasangan kekasih yang ditahan berdua-duaan.

Tertuduh, Muhamad Adham Samsudin, 34, Wan Muhammad Fauzi Zulkefli, 29, dan Muhammad Najib Muhamad,36, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kesemua tertuduh didakwa meminta secara rasuah wang tunai RM3,000 daripada sepasang kekasih sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan lanjut selepas ditahan berdua-duaan di dalam kenderaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik rehat ‘Ops Lejang’ Balai Polis Melaka Tengah, di sini antara jam 2.40 pagi hingga 3.30 pagi pada 7 Oktober tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa menerima wang rasuah berkenaan ketika berada di meja batu bersebelahan Pondok Polis Pelancong, Jonker Walk, Melaka sekitar jam 4 hingga 4.30 pagi pada tarikh sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Abd Muntaqim Abdul Aziz mencadangkan jaminan RM10,000 mengambil kira perbuatan rasuah yang dilakukan dan memohon syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM Melaka sekali setiap bulan.

Kesemua tertuduh yang diwakili peguam, Umar Zulkarnain bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana kesemua tertuduh hanya berpendapatan antara RM2,000 hingga RM3,300 dan mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh serta bersetuju dengan syarat-syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan dan menetapkan 20 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!