SKMM mulakan rundingan awam draf Kod Tatalaku untuk perkhidmatan media sosial

SKMM menggalakkan penyertaan daripada penyedia perkhidmatan, orang awam dan semua pihak berkepentingan dalam proses tersebut yang akan bermula dari 22 Oktober hingga 5 November.
SKMM menggalakkan penyertaan daripada penyedia perkhidmatan, orang awam dan semua pihak berkepentingan dalam proses tersebut yang akan bermula dari 22 Oktober hingga 5 November.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memulakan rundingan awam mengenai draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk penyedia perkhidmatan pesanan internet dan penyedia perkhidmatan media sosial.

SKMM dalam satu kenyataan berkata, rundingan berkenaan merupakan susulan pengenalan kerangka pelesenan untuk perkhidmatan pesanan internet dan perkhidmatan media sosial yang diwartakan 1 Ogos lalu yang bakal berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.

Sehubungan itu, SKMM menggalakkan penyertaan daripada penyedia perkhidmatan, orang awam dan semua pihak berkepentingan dalam proses tersebut yang akan bermula dari 22 Oktober hingga 5 November.

“Rundingan awam ini merupakan peluang untuk semua pihak menyumbang kepada dasar-dasar yang akan membentuk masa depan persekitaran dalam talian di Malaysia.

“Ia juga bertujuan untuk memastikan ruang dalam talian kekal selamat, terjamin serta kondusif untuk pertumbuhan dan inovasi,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan kod tatalaku pelesenan penyedia platform media sosial akan diumumkan selewat-lewatnya hujung bulan Oktober.

Jelasnya, ia bertujuan untuk diteliti oleh platform media sosial dalam tempoh dua bulan sebagai garis panduan sebelum mendaftar untuk pelesenan

Mengulas lanjut, SKMM turut menjelaskan tentang tujuan rundingan tersebut yang mana ia adalah untuk mendapatkan input dan maklum balas daripada penyedia perkhidmatan, orang awam, pemain industri dan pihak berkepentingan relevan.

Artikel Berkaitan:

“Matlamat draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) adalah bertujuan mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat untuk rakyat Malaysia, terutama kepada kanak-kanak dan golongan rentan berisiko tinggi terdedah kepada kandungan memudaratkan.

“Draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang dicadangkan oleh SKMM menggariskan amalan terbaik untuk diterima pakai oleh penyedia perkhidmatan yang dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujar kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!