Pesta Sukan Air Kuala Kangsar mungkin ditangguh sebab cuaca

Mohammad Nizar (tengah) ketika sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.
Mohammad Nizar (tengah) ketika sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 Sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Oktober ini mungkin terpaksa ditangguh atas faktor cuaca berikutan fasa peralihan Monsur Timur Laut yang melanda negara ketika ini.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, namun keputusan muktamad mengenainya masih bergantung kepada kenyataan rasmi pihak jawatankuasa penganjur program berkenaan.

Menurutnya, pertimbangan untuk acara tersebut ditunda dicadangkan atas faktor keselamatan yang dibimbangi menjejaskan pesta tersebut.

"Dapatan daripada JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) mendapati terdapat kebarangkalian besar arus Sungai Perak di kawasan Kuala Kangsar menjadi terlalu deras apabila terdapat pelepasan air dalam kadar tinggi di empangan sebelah hulu sungai khususnya Empangan Chenderoh di Kuala Kangsar yang pastinya menjejaskan aktiviti yang ingin dianjurkan.

"Sekiranya terdapat pelepasan (air) yang agak tinggi daripada empangan Chenderoh, kebiasaannya aliran Sungai Perak di Kuala Kangsar akan jadi sangat deras, menjadikan aktiviti-aktiviti air itu mungkin akan terjejas.

"Jadi mungkin dengan pertimbangan-pertimbangan itu akan ada keputusan yang akan dibuat oleh jawatankuasa penganjur," katanya kepada pemberita di Pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Hadir sama Pengarah JPS Perak, Ahmad Shahrir Md. Naziri dan Ketua Pengurusan Aset Hijau TNB (Tenaga Nasional Berhad) Power Generation Sdn Bhd., Mohd Zaini Jaafar.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Nizar berkata, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dijangka menurunkan lagi paras air di semua empangan seliaannnya sepanjang Sungai Perak dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, proses penurunan air itu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan oleh Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Empangan Malaysia (MyDAMS) dan Suruhanjaya Antarabangsa berkaitan Empangan Besar (ICOLD).

Sebelum ini, terdapat mesej yang tular di media sosial mendakwa Pesta Sukan Air Kuala Kangsar yang dijadualkan berlangsung di Dataran Lembah Sungai Perak, Kuala Kangsar itu akan dibatalkan susulan cuaca dan bencana banjir.

Pada 14 Oktober lalu, media melaporkan Pesta Sukan Air Kuala Kangsar kembali dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Perak dan Muafakat Anak Jati Kuala Kangsar (GEMUDA) selepas 15 tahun tidak diadakan.

Lebih bermakna lagi apabila Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 itu dianjurkan bersempena ulang tahun ke-10 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersemayam diatas takhta singgahsana Kerajaan Negeri Perak.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, kali terakhir Pesta Sukan Air Kuala Kangsar dianjurkan adalah pada 2009 ketika pemerintahan Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!