MBPJ peruntuk hampir RM1 juta naik taraf Urban Park 1

Mohamad Zahri pada Mesyuarat Majlis Khas (Bajet 2025) MBPJ.
Mohamad Zahri pada Mesyuarat Majlis Khas (Bajet 2025) MBPJ.
A
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM900,000 untuk menaik taraf Urban Park 1 seluas kira-kira 4.9 hektar (12.28 ekar) dalam Program Rejuvenasi Taman Rakyat di Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.

Berlandaskan tema 'low carbon city' dan melalui pendekatan dari rakyat untuk rakyat, pembangunan taman itu adalah pembangunan yang berkarbon rendah dan mampan untuk jangka masa panjang.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, pembangunannya juga mengambil kira keperluan ekologi, biodiversiti tapak dan kehendak pemegang taruh setempat secara berfasa bermula 2025 hingga 2027.

Mohamad Zahri ketika berucap pada Mesyuarat Majlis Khas (Bajet 2025) MBPJ di Bangunan Annex, Ibu Pejabat MBPJ pada Selasa.
Mohamad Zahri ketika berucap pada Mesyuarat Majlis Khas (Bajet 2025) MBPJ di Bangunan Annex, Ibu Pejabat MBPJ pada Selasa.

"Sebagai langkah pertama tahun depan, MBPJ akan melaksanakan penambahbaikan infrastruktur seperti laluan pejalan kaki, ruang pelbagai guna, kerja-kerja pengindahan dan sistem saliran berasaskan 'nature based solution'," ujarnya pada Mesyuarat Majlis Khas (Bajet 2025) MBPJ di Bangunan Annex, Ibu Pejabat MBPJ di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, sebagai usaha pihak berkuasa tempatan itu dalam menghadapi isu perubahan iklim dan pemanasan global di Petaling Jaya, ujarnya, MBPJ melaksanakan Inisiatif 'low carbon landscape' dalam mewujudkan suasana landskap selesa dan sejahtera.

Ujarnya lagi, ia akan dilaksanakan melalui program penanaman pokok untuk mengimbangi pembangunan dengan kemapanan alam sekitar yang menekankan penanaman pokok teduhan bersifat rendah karbon dan akan memberikan manfaat kepada kawasan hijau sebagai pembekal biodiversiti, kitaran oksigen serta karbon serta habitat kepada hidupan liar.

"Bagi tujuan tersebut sejumlah RM350,000 diperuntukkan untuk program penghijauan melalui pengindahan landskap di kawasan strategik dan penanaman pokok teduhan bagi meneutralkan 40 peratus karbon dioksida dengan mengurangkan sumber karbon dan meningkatkan penyerapan karbon menjelang tahun 2030," ujarnya

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, MBPJ turut mengakui kepentingan tasik dan kolam tadahan sebagai khazanah alam yang tidak terperi nilainya.

"Atas kesedaran itu, majlis memperuntukkan sejumlah RM200,000 bagi meneruskan penyelenggaraan sistem aerator di taman-taman awam yang mempunyai tasik dan kolam tadahan sebagai tanda sokongan berterusan MBPJ dalam memelihara kualiti persekitaran yang mampan dan berfungsi sebagai penyerap karbon dioksida dari atmosfera.

"Ini adalah langkah penting untuk memastikan kualiti air dan tahap oksigen yang optimum diaplikasikan, menjamin kelestarian alam sekitar kita," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!