Bunuh rakan kerana mabuk, hutang

Seorang lelaki warga asing ditahan susulan penemuan mayat lelaki ditemui di luar stor Jalan Kemajuan Perindustrian 4, Batu 24, Kota Tinggi, awal pagi Selasa.
Seorang lelaki warga asing ditahan susulan penemuan mayat lelaki ditemui di luar stor Jalan Kemajuan Perindustrian 4, Batu 24, Kota Tinggi, awal pagi Selasa.
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis menahan seorang lelaki warga asing dan menyelesaikan kes bunuh dalam tempoh kurang 24 jam selepas mayat lelaki ditemui di luar stor Jalan Kemajuan Perindustrian 4, Batu 24 di sini, awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, maklumat mengenai penemuan mayat warga asing berusia 30 tahun yang berlumuran darah di lokasi kejadian diterima pada jam 12.30 pagi.

"Bertindak atas maklumat, antara jam 2 pagi hingga 4 pagi, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menahan lelaki warga asing berusia 38 tahun di tepi jalan Batu 25, Jalan Johor, di sini.

"Susulan tangkapan itu, polis merampas sebuah telefon bimbit berserta pakaian yang mempunyai kesan darah dipercayai dipakai suspek semasa kejadian. Bagaimanapun senjata yang digunakan masih dalam pencarian polis," katanya dalam kenyataan.

Yusof berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan mabuk dan hutang.

"Ujian saringan air kencing didapati suspek tidak terbabit dalam salah guna dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk dibedah siasat dan punca kematian masih dalam siasatan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!