MTL: JBPM beku cuti anggota di kawasan berisiko bencana

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (tengah) meninjau ruang pameran IFCEM di KLCC pada Selasa.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (tengah) meninjau ruang pameran IFCEM di KLCC pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) akan melaksanakan pembekuan cuti ke atas anggotanya di kawasan terlibat Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, ketetapan itu merupakan sebahagian langkah diambil bagi persediaan menghadapi MTL.

Menurutnya, pembekuan cuti secara menyeluruh akan dikuatkuasakan jika terdapat keperluan sokongan anggota-anggota dari negeri lain.

“Saya bercadang untuk menyasarkan kawasan tertentu (untuk pembekuan cuti) selaras dengan aliran Monsun Timur Laut.

"Adalah tidak adil untuk mengenakan pembekuan cuti kepada negeri yang tidak terjejas banjir, tetapi jika keadaan menjadi kritikal, pembekuan itu mungkin dikuatkuasakan secara menyeluruh untuk menyokong pasukan di negeri terjejas," katanya pada Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Kebombaan Antarabangsa Malaysia (IFCEM) 2024.

Nor Hisham berkata, pihaknya telah menyemak kawasan tumpuan dan pangkalan hadapan mereka sebagai persediaan menghadapi perubahan cuaca itu.

“Kami telah menyemak kawasan tumpuan kami dan meneruskan rancangan yang kami tetapkan, termasuk penubuhan pasukan gerak cepat di 22 lokasi.

“Kami juga menumpukan pada pangkalan hadapan, menempatkan logistik di Wakaf Tapai, Terengganu dan Ayer Hitam, Johor daripada terlalu menumpukan perhatian di Pulau Pinang kali ini (untuk banjir), " katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, jabatan itu juga sedang berkoordinasi dengan polis dan agensi lain berdasarkan arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Selain itu katanya, sebanyak dua siri sesi latihan bersama ketua-ketua balai telah diadakan bagi mengukuhkan penggunaan Arahan Nadma No 1 di semua balai bomba.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini menjangkakan MTL akan berlaku pada awal bulan depan.

Malaysia memasuki fasa peralihan monsun pada 24 September dan dijangka berterusan sehingga awal bulan depan dengan banjir dijangka berlaku di beberapa negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!