Pantau, periksa bangunan lama yang berisiko - Sultan Pahang
KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua agensi terlibat memantau dan menjalankan penguatkuasaan secara teliti terhadap bangunan-bangunan lama yang berisiko di negeri ini.
Titah baginda, langkah itu perlu bagi memastikan kejadian tiga premis kedai dipercayai berusia lebih 100 tahun di Jalan Besar di sini yang musnah dalam kebakaran Sabtu lalu tidak berulang.
"Saya mengingatkan pihak berkuasa terlibat supaya lihat semula bangunan yang sudah lama dan usang ini.
"Jika perlu, buat satu dasar yang baharu berkaitan bangunan lama ini kerana saya bimbang kejadian seumpama ini berulang lagi di tempat lain," titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas berkenan berangkat ke lokasi kebakaran premis kedai di Jalan Besar di sini pada Selasa.
Dalam sesi lawatan itu, baginda turut diberikan taklimat berkenaan kejadian kebakaran itu dan strategi operasi digunakan pasukan bomba yang disampaikan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Turut berangkat, Tengku Panglima Perang, Leftenan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam pada itu, baginda bertitah, pihak-pihak terlibat juga perlu membuka mata susulan kejadian kebakaran yang melibatkan premis kedai berusia 100 tahun itu.
"Saya tahu untuk bina bangunan pejabat, hotel dan premis baharu, peraturannya cukup ketat dengan pelbagai peraturan ditetapkan pihak pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah yang perlu dipatuhi.
"Saya setuju dengan cara itu tetapi bangunan lama jangan tutup mata, kena pergi tengok. Bomba pun, kalau tahu bangunan itu tidak selamat, beritahu tidak selamat.
"Jangan diam. Kita tidak mahu berlaku kejadian melibatkan kehilangan nyawa atau kehilangan harta yang lebih besar kerana ia tidak mencerminkan kecekapan tugasan dalam soal keselamatan," titah baginda.
Tambah baginda lagi, kerajaan juga perlu teliti terhadap semua bangunan lama dan memberikan nasihat profesional.
"Tidak boleh abai atau bertindak sambil lewa. Tidak selamat tulis tidak selamat, jangan risikokan orang yang datang, orang yang tinggal atau bekerja di premis-premis lama ini.
"Jadikan ini sebagai satu peringatan dan membuka mata kepada semua pihak," titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu khususnya pihak bomba bertindak cepat mengawal dan memadam kebakaran terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!