IPT disaran henti keluar kenyataan, kekang kebebasan bersuara ahli akademik
SHAH ALAM - Kesemua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini disarankan agar berhenti mengeluarkan arahan berhubung mengekang kebebasan bersuara dalam kalangan ahli akademik dan pelajar.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok berkata, kebebasan akademik memainkan peranan penting dalam mendorong inovasi, membentuk pemikiran kritikal dan mempromosikan kemajuan sosial.
Menurutnya, suara mereka tidak wajar ditekan atau dibungkam.
"Ahli akademik Malaysia haruslah berani menyuarakan pandangan, kerana pemikiran mereka adalah kekuatan yang penting untuk kemajuan negara.
"Saya puji kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang menyokong ahli akademik untuk mempunyai kebebasan mengemukakan pendapat berdasarkan penyelidikan dan fakta," katanya menerusi laman Facebook pada Selasa.
Sebelum itu, menurutnya hak kebebasan bersuara para akademia universiti akan terus dipertahankan selagi ia berasaskan disiplin dan penyelidikan masing-masing.
Zambry menegaskan, beliau tidak mahu sebarang tindakan yang diambil pihak universiti termasuk Akta 605 Akta Badan- Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) akan mengekang golongan itu untuk memberi pandangan dan melontarkan idea.
Dalam pada itu, Teresa berkata, pendirian menteri itu adalah amat penting untuk memastikan universiti terus menjadi tempat pertukaran fikiran dan pertembungan idea dalam pembangunan negara.
"Saya juga bersetuju dengan pandangan Zambry bahawa undang-undang seperti Akta 605 Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 tidak seharusnya menjadi alat untuk menekan pendapat dan pandangan ahli akademik," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!