Sultan Perak perkenan Pesta Sukan Air Kuala Kangsar ditangguh

Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Oktober 2024 ditunda ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Oktober 2024 ditunda ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Oktober 2024 ditunda ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Sekretariat Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan penundaan ini diambil dengan penuh pertimbangan.

Menurutnya, baginda amat memahami kekecewaan rakyat khususnya para peserta dan pengunjung yang telah lama menantikan pesta tersebut namun keselamatan serta kesejahteraan menjadi keutamaan.

"Baginda bertitah, keputusan ini diambil setelah mempertimbangkan situasi semasa di negeri Perak, khususnya kejadian banjir, hujan lebat yang melanda di beberapa kawasan menyebabkan peningkatan paras air sungai.

"Maka adalah tidak sesuai bagi kita untuk berpesta ria ketika masyarakat sedang mengharungi saat-saat sukar," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, pihak penganjur turut memohon maaf atas atas segala kesulitan terpaksa ditanggung oleh peserta dan pengunjung yang sudah membuat persiapan sempena pesta air tersebut.

Menurut kenyataan itu, bagaimanapun, pihak penganjur percaya bahawa penangguhan tersebut merupakan langkah yang wajar bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak terjamin.

"Namun demikian, pihak penganjur ingin menzahirkan keyakinan kepada seluruh masyarakat bahawa penundaan ini bukanlah penghujung segala-galanya.

Artikel Berkaitan:

"Sebaliknya, ia adalah salah satu bentuk penghormatan kepada mereka yang sedang memerlukan bantuan dan sokongan. Kami berharap masyarakat memahami situasi yang tidak dapat dielakkan ini," katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, pihak penganjur menegaskan serta memberi jaminan bahawa Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 bukanlah dibatalkan sepenuhnya tetapi hanya ditangguh ke suatu tarikh yang lebih sesuai apabila keadaan kembali pulih dan rakyat dapat bersama-sama meraikannya dengan penuh gembira.

Dalam pada itu pihak penganjur akan terus komited memantau perkembangan terkini dan akan memaklumkan sebarang perubahan mengenai tarikh baharu pelaksanaan pesta ini.

Pada 14 Oktober lalu, media melaporkan Pesta Sukan Air Kuala Kangsar kembali dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Perak dan Muafakat Anak Jati Kuala Kangsar (GEMUDA) selepas 15 tahun tidak diadakan.

Lebih bermakna lagi apabila Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 itu dianjurkan bersempena ulang tahun ke-10 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersemayam diatas takhta singgahsana Kerajaan Negeri Perak.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, kali terakhir Pesta Sukan Air Kuala Kangsar dianjurkan adalah pada 2009 ketika pemerintahan Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!