GISBH ajaran sesat ke-17 diharamkan di Sabah

Mohd Arifin (tengah duduk) ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan TPNS di Menara Kinabalu.
Mohd Arifin (tengah duduk) ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan TPNS di Menara Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - GISB Holding Sdn Bhd (GISBH) ajaran sesat yang ke-17 diharamkan di Sabah selepas Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan ajaran, amalan, pegangan dan fahaman ahli jemaahnya bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jama'ah.

Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sebelum ini hanya 16 ajaran sesat disenaraikan tetapi organisasi tersebut didapati tidak sesuai dengan lunas yang sebenar.

"Sebelum ini kumpulan al-Arqam melalui syarikat Rufaqa' Corporation Sdn Bhd yang lebih kurang juga. Tapi kita tidak boleh putuskan sekaligus tidak menyeleweng maka GISBH itu sama atau tidak.

"Jadi kita buat penyelidikan tersendiri. Jadi sebenarnya Rufaqa' lain, GISBH lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) di Menara Kinabalu pada Selasa.

Beliau berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sabah (JHEAINS) akan bekerjasama dengan pelbagai pihak berkuasa di negeri ini.

"Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai bidang kuasa yang tersendiri.

"Seperti mana yang saya sebutkan sebelum ini kita ada Jawatankuasa Penyelarasan Hal Ehwal Islam (JaPHEIS) yang melibatkan agensi seperti JHEAINS, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan sebagainya.

"Tujuannya untuk membincangka hal atau isu yang berhubung dengan akidah, syariah termasuk hal halal dan inilah yang diselaraskan setiausahanya, Majlis Ugama Islam Sabah (Muis)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Mohd Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, perkembangan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari masa ke masa.

Sebelum itu, sebanyak 16 ajaran sesat dikeluarkan Pejabat Mufti Sabah sebagai ajaran yang menyeleweng iaitu ajaran Ilmu Makrifat (Mengenal Allah Diri) oleh Mohd Yusuf Cik Wook Yang, Islam Jama'ah, Millah Abraham, Pertubuhan Rahmatan Lil 'Alamin, Qadiani, Syiah, Aliran dan Dakyah Wahabiah Black Metal.

Selain itu, ajaran yang turut diharamkan ialah fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir, fahaman liberalisme dan pluralisme menurut pandangan islam, gerakan kumpulan Muhammadiyyah Wahabiyyah dan Itba' Al-Sunnah, Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), kumpulan Tal Tujuh, ajaran Bahai, Tariqah Hasaniah dan kumpulan al-Arqam melalui syarikat Rufaqa' Corporation Sdn Bhd.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!