Elak guna orang tengah, salur masalah menerusi persatuan penjaja
ALOR SETAR - Peniaga pasar malam di negeri ini dinasihatkan agar menggunakan saluran yang betul untuk membangkitkan permasalahan menerusi persatuan penjaja bukannya menggunakan khidmat orang tengah.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria berkata, peniaga tidak sewajarnya melantik individu tertentu sebagai orang tengah terutama apabila melibatkan peraturan yang dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, PBT juga tidak pernah melantik mana-mana pihak sebagai orang tengah untuk bercakap mewakili penjaja kecuali persatuan penjaja.
“Peniaga sepatutnya gunakan saluran sedia ada, iaitu persatuan penjaja untuk bangkitkan masalah agar isu yang berbangkit dapat diselesaikan dengan cara yang betul.
"Saya dapati ada pihak tidak bertanggungjawab kononnya bertindak seperti orang tengah cuba wakili suara peniaga. Nak jadi hero perjuangkan hak peniaga, kita bimbang ia akan gugat ketenteraman awam,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas video tular di TikTok pada Ahad, berkaitan perselisihan faham antara beberapa individu di pasar malam Jalan Pegawai membabitkan pegawai khas Menteri Besar Kedah, Salmy Anas Ahmad atau lebih dikenali dengan Cikgu Anas.
Anas kemudian tampil menafikan dakwaan mengasari wakil peniaga seperti tular, sebaliknya hanya mahu berbincang dengan ketua peniaga berkenaan.
Dalam pada itu, Mansor mengingatkan peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bawah PBT masing-masing.
“Peniaga harus ingat, mereka berniaga di kawasan PBT, kita bukan nak sekat rezeki mereka atau nak halau mereka atau tutup periuk nasi mereka.
“Cuma apabila berniaga di kawasan PBT hendaklah ikut garis panduan, peraturan, keselamatan, kebersihan, sistem serta pelesenan.
“Bersyukurlah ada ruang untuk berniaga, jangan anggap semua itu hak kita, masalahnya ada segelintir peniaga anggap itu hak mereka dan tak boleh dikacau ganggu,” jelasnya.
Menurutnya, terdapat segelintir peniaga enggan memahami etika dan peraturan ditetapkan sehingga mengundang kepada campur tangan orang tengah yang cuba hendak menjadi hero.
“Kita ada persatuan penjaja Kedah, kita tak pernah lantik mana-mana pihak sebagai orang tengah. Saya harap penjaja bersikap rasional dan gunakan saluran yang betul jika ada masalah berbangkit,” jelasnya.
Mansor turut mengucapkan terima kasih kepada Anas kerana berhasrat membantu peniaga bagi mendengar masalah yang dihadapi namun kesal apabila ada pihak luar mengambil kesempatan terhadap isu berkenaan.
“Peniaga tidak boleh buat sesuka hati, ikutlah peraturan PBT. Saya harap isu ini dapat dijadikan iktibar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!