Koronavirus: Bank Rakyat tawar penangguhan sementara pembiayaan pelanggan
KUALA LUMPUR - Bank Rakyat mengambil inisiatif untuk membantu pelanggan yang menghadapi isu kewangan akibat wabak novel koronavirus dengan menawarkan penangguhan sementara terhadap pembiayaan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Rosman Mohamed berkata, pelanggan perlu tampil mendapatkan bantuan di mana-mana cawangan Bank Rakyat untuk menangani masalah kewangan yang dihadapi bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.
“Kami menyedari bahawa sesetengah pelanggan terutamanya mereka yang berada dalam industri keusahawanan dan koperasi mungkin terjejas disebabkan oleh jenis perniagaan yang memerlukan mereka untuk pergi ke negara dianggap berisiko tinggi disebabkan oleh penularan wabak koronavirus.
“Sehubungan itu, kami berharap inisiatif ini dapat membantu mengurangkan kesan kewangan akibat penularan wabak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, inisiatif itu juga merupakan sebahagian usaha Bank Rakyat untuk memastikan kelestarian terhadap pembiayaan pelanggan dengan menguruskannya secara berkesan, sejajar status institusi kewangan itu sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).
“Kami menghargai hubungan jangka panjang dengan para pelanggan kami dan sentiasa bekerja rapat dengan mereka untuk menyokong keperluan kewangan mereka dalam pelbagai situasi yang berbeza.
“Ini merupakan waktu yang mencabar bagi komuniti dan ekonomi global. Kami sentiasa memikirkan mereka yang terjejas akibat penularan koronavirus ini,” katanya.
Untuk sebarang maklumat atau bantuan, pelanggan boleh menghubungi Pusat Panggilan tele-Rakyat di talian 1-300-80-5454 atau mengunjungi cawangan berdekatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!