Enam PBT di Pahang kemuka pencalonan penarafan Bandar Pintar

Mohammad Fakhruddin (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) peringkat Negeri Pahang 2024 di sini, pada Selasa.
Mohammad Fakhruddin (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) peringkat Negeri Pahang 2024 di sini, pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Enam pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang telah menyediakan dan mengemukakan Pelan Tindakan Bandar Pintar melalui platform Bandar Pintar Negara di bawah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) tahun ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, Majlis Perbandaran Temerloh, Pekan dan Bentong serta Majlis Daerah Lipis dan Jerantut mengemukakan pencalonan bagi penarafan Bandar Pintar Tahap 1: Smart City Early Adopter.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pula mengemukakan pencalonan bagi penarafan Bandar Pintar Tahap 2: Developing Smart City.

"Pencalonan dari semua PBT itu dikemukakan Julai lalu untuk dinilai dan diputuskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Keputusan sama ada MBK berjaya menerima penarafan Bandar Pintar Tahap 2 dijangka akan diketahui 28 Oktober ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) peringkat Negeri Pahang 2024 di sini pada Selasa.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Perancangan Bandar dan Desa, Md Nazri Abdullah dan Pengarah PLANMalaysia Pahang, Nik Noraisu Nik Ibrahim.

Mohammad Fakhruddin berkata, bagi menjayakan pembentukan Bandar Pintar, tujuh komponen perlu dilaksanakan dalam perancangan pembangunannya.

Artikel Berkaitan:

"Tujuh komponen itu ialah ekonomi pintar, kehidupan pintar, persekitaran pintar, orang pintar, kerajaan pintar, mobiliti pintar dan infrastruktur digital pintar.

"Di peringkat negeri, pemakaian konsep pembangunan bandar mampan dan pintar ini dibentuk melalui penggubalan dasar dalam Rancangan Struktur Negeri Pahang 2050 manakala inisiatif pelaksanaan Bandar Pintar pula digariskan di dalam Pelan Tindakan Bandar Pintar di bawah PBT," katanya.

Sementara itu katanya, dalam menuju pembentukan bandar pintar di negeri ini satu Pelan Tindakan Bandar Pintar Negeri Pahang sedang disediakan bagi memastikan perancangan bandar yang bersistematik, mempersiapkan bandar-bandar di negeri ini dengan elemen pintar dalam pengurusan perbandaran.

"PLANMalaysia Pahang menerima peruntukan Kerajaan Negeri Pahang untuk menyediakan Pelan Tindakan Bandar Pintar Negeri Pahang 2040 yang dijangka disiapkan tahun depan," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!