Portal Antipenipuan Kebangsaan kurangkan tempoh jejak dana kepada 30 minit

Hui Ying pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, pada Selasa. Foto Bernama
Hui Ying pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Portal Antipenipuan Kebangsaan (NFP) yang ditubuhkan pada April lepas berjaya mengurangkan tempoh untuk menjejak dana sebanyak 75 peratus kepada 30 minit dan meningkatkan jumlah dana yang dibekukan sebanyak 28 peratus, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Beliau berkata, keupayaan institusi kewangan untuk mengenal pasti akaun keldai juga telah meningkat sebanyak 14 peratus dengan pelaksanaan NFP.

"Melalui NFP, operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) kini dilengkapi dengan keupayaan automasi menyeluruh bagi menguruskan laporan penipuan, mengesahkan dan menjejak dana yang dicuri serta membolehkan perkongsian amaran awal dalam kalangan institusi kewangan agar tindak balas pantas dapat diambil.

"Pelaksanaan NFP juga disokong dengan prosedur pengendalian akaun keldai yang dibangunkan oleh industri untuk menambah keupayaan mengenal pasti akaun keldai,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Chiew Choon Man (PH-Miri) yang ingin tahu langkah-langkah diambil oleh Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan keselamatan terhadap penipuan termasuk serangan oleh peranti pihak ketiga.

Hui Ying berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi kewangan komited dalam mengukuhkan keselamatan perkhidmatan kewangan bagi mengatasi ancaman penipuan yang semakin meningkat.

Beliau berkata, pelaksanaan langkah kawalan sejak September 2022 telah menunjukkan impak positif, dengan institusi kewangan berjaya menyekat transaksi yang tidak sah dan mencurigakan bernilai RM383 juta bagi 2023.

"Trend kes penipuan secara pancing data (phishing) dan perisian hasad (malware) yang dilaporkan kepada NSRC juga telah menunjukkan trend penurunan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan untuk mangsa penipuan kewangan membuat laporan secepat mungkin dengan menghubungi NSRC di talian 997 bagi membolehkan tindak balas pantas dapat diambil oleh institusi kewangan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!