KM Sebatik ditambah baik, sedia kawal perairan negara

Saiful Lizan (dua dari kanan) menyempurnakan Majlis Penyerahan KM Sebatik bagi Perolehan Repowering Jentera Utama dan Refit yang berlangsung di Kuala Terengganu, pada Selasa.
Saiful Lizan (dua dari kanan) menyempurnakan Majlis Penyerahan KM Sebatik bagi Perolehan Repowering Jentera Utama dan Refit yang berlangsung di Kuala Terengganu, pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kapal Peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kapal Maritim (KM) Sebatik akan kembali mengawal perairan negara selepas selesai menjalani proses penambahbaikan selama hampir dua tahun.

Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, proses penambahbaikan kapal tersebut dijalankan di bawah program 'repowering' dan 'refit' yang berlangsung selama 22 bulan bermula Disember 2022.

Menurutnya, proses tersebut melibatkan penukaran sistem jentera utama baharu yang dijalankan di Limbungan OBM Technic Sdn Bhd, di sini.

"Kapal ini akan kembali menggalas tanggungjawab dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan perairan negara selepas hampir dua tahun menjalani proses 'repowering' jentera utama dan 'refit'.

"Program ini merupakan inisiatif oleh Maritim Malaysia bagi meningkatkan jangka hayat kapal melibatkan proses modenisasi bagi kapal-kapal yang telah berusia dengan penambahbaikan serta penukaran sebahagian besar komponen kapal antaranya jentera utama, janakuasa, sistem elektronik, akomodasi dan lain-lain," katanya.

Saiful Lizan (kiri) meninjau keadaan kapal sempena Majlis Penyerahan KM Sebatik bagi Perolehan Repowering Jentera Utama dan Refit yang berlangsung di Kuala Terengganu, pada Selasa.
Saiful Lizan (kiri) meninjau keadaan kapal sempena Majlis Penyerahan KM Sebatik bagi Perolehan Repowering Jentera Utama dan Refit yang berlangsung di Kuala Terengganu, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyerahan KM Sebatik bagi Perolehan Repowering Jentera Utama dan Refit yang berlangsung di sini, pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan Kementerian Ekonomi, Nooraidah Abdullah; Pengarah Bahagian Kejuruteraan Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Hamizan Harun; Pengarah Maritim Negeri Pahang; Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab; Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid dan Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi.

Menurut Saiful Lizan, kapal berusia 40 tahun itu dilihat perlu menjalani pembaikan bagi memastikan ia bersedia berdepan sebarang kemungkinan khususnya melibatkan keselamatan perairan negara.

Saiful Lizan (kiri) bersalaman bersama anggota Maritim Malaysia sempena Majlis Penyerahan KM Sebatik bagi Perolehan Repowering Jentera Utama dan Refit yang berlangsung di Kuala Terengganu, pada Selasa.
Saiful Lizan (kiri) bersalaman bersama anggota Maritim Malaysia sempena Majlis Penyerahan KM Sebatik bagi Perolehan Repowering Jentera Utama dan Refit yang berlangsung di Kuala Terengganu, pada Selasa.

"Beberapa aspek lain turut ditambah baik antaranya sistem persenjataan utama kapal iaitu meriam 20mm KAA Oerlikon turut dikekalkan dan diselenggara supaya berada pada tahap terbaik.

"Latihan teori pengendalian dan praktikal telah diberikan kepada kru di samping latihan penembakan meriam membabitkan aset-aset dari kelas yang sama di Perairan Terengganu dalam masa terdekat untuk memastikan keupayaan serta kebolehfungsian meriam jenis ini," ujarnya.

KM Sebatik adalah satu daripada lima aset yang menjalani Program Repowering Jentera Utama dan Refit selepas kerajaan telah memberikan suntikan peruntukan berjumlah RM17.4 juta pada hujung 2022.

Kapal seberat 150 tan yang berukuran 29 meter panjang dan 6 meter lebar itu dibina di Penang Shipbuilding Corporation Sdn Bhd pada 1982 dan dikenali dengan panggilan PX33 untuk kegunaan Pasukan Polis Marin.

Kapal berkenaan kemudian diserahkan kepada Maritim Malaysia bagi meneruskan khidmat baktinya kepada negara bermula pada tahun 2011 dan telah dikelaskan sebagai kapal peronda kelas Gemia dengan menggunakan nombor pennant 2958.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!