Muzzammil sah cabar Syed Saddiq
SHAH ALAM - Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Nasional, Muzzammil Ismail hari ini mengumumkan akan mencabar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi merebut jawatan sebagai ketua sayap pemuda parti itu.
Selain Muzzammil, Abu Hafiz Salleh Hudin yang juga Exco Armada Nasional turut mengesahkan untuk menawarkan diri bagi bertanding jawatan timbalan pada pemilihan parti itu nanti.
Pengumuman itu dibuat pada Majlis Pelancaran Pertubuhan Angkatan Baru Malaysia di Kelab Shah Alam di sini hari ini.
Muzzammil berkata, keputusan untuk bertanding itu dibuat kerana melihat Armada ketika ini berada dalam keadaan kritikal dan tiada hala tuju yang jelas dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, Armada di bawah kepimpinan Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan itu juga dilihat gagal untuk menarik sokongan golongan muda terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Sebagai contoh dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini, kita kalah hampir kesemua saluran orang muda. Ini menunjukkan bahawa gelombang anak muda menolak pimpinan Armada secara total.
"Ini yang merisaukan kerana secara tidak langsung turut gagal menyatukan parti komponen yang lain. Inilah sebenarnya kepincangan yang berlaku dan jika ia tidak ditangani, bukan sahaja Armada tetapi komponen PH juga akan lumpuh," katanya.
Muzzammil yang juga Felo Akademik Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, sudah tiba masanya Armada diberi nafas baharu dalam memperkukuhkan kembali sayap pemuda parti itu.
Setakat ini, dua calon disahkan akan bertanding bagi merebut jawatan yang disandang Syed Saddiq ketika ini.
Januari lalu, penerbit filem yang juga ahli perniagaan, Razalif Mohd Zain mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Armada Bersatu pada pemilihan parti itu nanti.
Razalif, 30, yang juga Ketua Cawangan Armada Seaview Park berkata, beliau berhasrat untuk bertanding jawatan itu bagi memperbaharui lagi barisan Armada.
Sementara itu, Muzzammil berhasrat untuk memulihkan kembali jenama Armada ke landasan yang betul jika memenangi jawatan itu,
"Kita hendak mulakan satu unit atau batalion yang diberi nafas baharu tetapi batu asas seperti yang dinyatakan pada PRU-14 lalu untuk dikembalikan semula," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!